Gambar hiasan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng perlu mengaku ekonomi Malaysia merosot dengan ketara dan pantas selepas kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya dan bukannya sibuk bergaduh.

Ia susulan laporan negatif mengenai kedudukan ekonomi negara dan penurunan penarafan kredit.

Minggu lalu, media Jepun – Nikkeri mengeluarkan laporan yang sangat negatif tentang eknomi negara tetapi Menteri Kewangan mendakwa laporan itu tidak tepat.

Hari Isnin, syarikat penarafan kredit antarabangsa Moody’s memberi amaran bahawa Sovereign Credit Rating (SCR) negara akan diturunkan taraf jika hutang dan defisit negara terus meningkat.

Agensi penarafan kerajaan RAM juga melaporkan bahawa keyakinan perniagaan tentang ekonomi negara bagi separuh tahun pertama tahun ini telah jatuh ke tahap paling rendah dalam sejarah.

Semalam, Bank DBS dari Singapura juga menurunkan penarafan untuk bursa akibat daripada ekonomi negara semakin lembap.

Pagi ini pula, institusi kewangan utama Jepun, Nomura pula menurunkan penarafan untuk saham Malaysia dan memberi amaran yang sama bahawa penarafan kredit negara bakal diturunkan juga.

Datuk Seri Najib Razak berkata, situasi ini berlaku akibat pertambahan hutang negara ekoran defisit kerajaan yang semakin naik bagi tahun 2018 dan 2019 berbanding defisit negara yang semakin menurun tiap-tiap tahun di bawah kerajaan Barisan Nasional.

“Kalau defisit lebih tinggi, maka hutang negara naik dengan lebih cepat. Di bawah kerajaan PH, defisit negara jauh lebih tinggi berbanding kerajaan BN,” jelas Najib sambil memberitahu BN tidak pernah membayar dedak kepada Nikkei, DBS atau Nomura.

Dalam keadaan ekonomi semasa, tambah Najib, Menteri Kewangan tetap sibuk mencari gaduh.

“Semalam, dia layan tuduhan WSJ tentang negara China. Hari ini, dia gaduh dengan Sarawak dan MCA,” ujar beliau.

Menurut beliau lagi, Malaysia kini benar-benar perlu diselamatkan selepas harga barangan, tarif elektrik, gas dan air naik selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.

Secara sinis, katanya, yang turun hanya beliau, hujan, penarafan dan unjuran ekonomi negara. – MalaysiaGazette