Faiz Fadzil
Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) memandang serius laporan Wall Street Journal (WSJ) yang mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) telah menganugerahkan kontrak-kontrak bernilai puluhan bilion ringgit kepada negara China sebagai ganjaran untuk menutup skandal 1MDB.

Timbalannya, Faiz Fadzil berkata, laporan WSJ tersebut telah mengejutkan rakyat kerana ini jelas menunjukkan wang rakyat telah disalah guna untuk menutup kepincangan kerajaan yang lalu.

Justeru, katanya, kerajaan Pakatan Harapan digesa untuk menyiasat dan mengesahkan laporan WSJ dengan kerana perkara ini adalah berkaitan dengan imej dan kedaulatan negara.

Dalam masa yang sama, Pemuda AMANAH juga berharap agar segala perbincangan dengan Kerajaan China berkaitan dengan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diberhentikan sementara sehingga penyiasatan ini selesai.

Baru-baru ini WSJ mendedahkan ada mesyuarat antara pegawai-pegawai China dan Malaysia pada tahun 2016 dan ada pegawai Malaysia telah diberitahu oleh pegawai China bahawa kerajaan negara itu akan menggunakan pengaruhnya untuk memastikan negara lain termasuk Amerika Syarikat menggugurkan siasatan ke atas 1MDB.

Akhbar antarabangsa itu turut mendakwa pentadbiran BN di bawah Datuk Seri Najib Razak telah meluluskan beberapa kontrak berjumlah US$34 bilion (RM140 bilion) kepada syarikat-syarikat China dalam tempoh hanya beberapa bulan selepas janji berkenaan dibuat.

Justeru, Faiz memberitahu, sekiranya dakwaan WSJ didapati benar, projek ECRL harus dibatalkan serta-merta kerana kontrak berkenaan mengandungi unsur penyelewengan dan penipuan serta telah dianugerahkan dengan tidak adil.

“Pemuda AMANAH berpendapat bahawa adalah lebih adil jika projek ECRL dibatalkan secara menyeluruh kerana ia tidak menguntungkan rakyat negara ini dan juga tidak berdaya maju,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain projek ECRL, pihaknya juga berharap pihak kerajaan menyiasat semula semua projek yang melibatkan kerajaan China atau syarikat-syarikat negara itu di Malaysia khususnya projek yang dianugerahkan oleh pentadbiran Najib.

“Mana-mana projek yang mengandungi unsur penyelewengan dan merugikan rakyat juga harus dibatalkan,” kata Faiz.

Pemuda AMANAH juga berharap agar tindakan yang tegas diambil terhadap semua individu yang terlibat dalam meluluskan projek-projek berkenaan termasuk Najib, katanya.

“Ini adalah penting untuk memastikan unsur kleptokrasi seperti ini tidak berulang pada masa hadapan dan keluhuran undang-undang ditegakkan. Bekas-bekas menteri kabinet seharusnya lebih bertanggungjawab untuk menjawab isu ini kepada rakyat dan bukannya melepaskan diri beralasankan urusniaga dengan negara China tidak pernah dimaklumkan kepada kabinet sedangkan peranan kerajaan China melindungi kepentingan 1MDB telah didedahkan sejak di zaman pentadbiran Barisan Nasional dahulu,” katanya.- MalaysiaGazette