Bangunan Jabatan Peguam Negara. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) membantah permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk mendapatkan kebenaran mahkamah bagi mencabar pelantikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes-kes yang dihadapi mereka.

Perkara itu dimaklumkan Muhammad Shafee, yang mewakili Najib kepada pemberita selepas prosiding dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas Datuk Azizah Nawawi yang turut dihadiri peguam Harvinderjit Singh mewakili Muhammad Shafee dan Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan bertindak bagi pihak AGC.

Muhammad Shafee berkata AGC mengemukakan bantahan awal kerana terdapat permohonan bertindih dikemukakan pihak mereka berhubung isu sama yang difailkan pihaknya dan Najib.

“Bantahan awal itu adalah berikutan berlakunya pertindihan prosiding hari ini dengan permohonan yang difailkan pihak kami di Mahkamah Tinggi Jenayah (untuk menggugurkan Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan),” katanya yang turut memaklumkan 29 Jan ditetapkan untuk mendengar permohonan AGC.

Ditanya pemberita mengenai permohonan kebenaran semakan kehakiman itu, Muhammad Shafee menjelaskan beliau dan Najib memfailkan permohonan itu secara berasingan namun sebahagian alasan yang dikemukakan mereka dalam permohonan itu adalah sama.

Muhammad Shafee berkata permohonan berkenaan dikemukakan atas alasan bahawa Sri Ram tidak boleh dilantik mengetuai pasukan pendakwaan ketika beliau masih bertindak sebagai peguam.

“Ianya berbeza dengan lantikan Datuk Sulaiman Abdullah (yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kes Najib melibatkan SRC International Sdn Bhd) dan lantikan saya sebagai pendakwa raya ketika mengendalikan kes liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim,” jelasnya.

Harvinderjit pula berkata sekiranya Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan anak guamnya dinafikan untuk mendapatkan perbicaraan yang adil mengikut Perlembagan Persekutuan.

Shamsul pula berkata pihaknya mengemukakan bantahan berikutan kedua-dua pemohon telah mengemukakan permohonan sama di Mahkamah Tinggi Jenayah.

Najib dan Muhammad Shafee selaku pemohon memfailkan permohonan semakan kehakiman itu secara berasingan bulan lepas dengan menamakan Peguam Negara/Pendakwa Raya selaku responden pertama dan Kerajaan Malaysia serta Sri Ram selaku responden kedua dan ketiga.

Dalam kedua-dua permohonan itu, mereka memohon perintah untuk membatalkan keputusan responden pertama yang tidak mengemukakan kepada mereka salinan surat pelantikan responden ketiga (Sri Ram) mengetuai pasukan pendakwaan yang kononnya dilakukan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Tatacara Jenayah.

Mereka turut memohon perintah mahkamah untuk membatalkan atau menolak pelantikan Sri Ram berikutan surat pelantikan itu adalah tidak sah selain memohon pengisytiharan bahawa terdapat konflik kepentingan berhubung pelantikan itu.

Turut dipohon perintah untuk melarang Sri Ram daripada terus mengetuai pasukan pendakwaan dalam semua kes yang dihadapi mereka termasuk rasuah, salah guna jawatan dan pengubahan wang haram.

— BERNAMA