Anwar diangkat sebagai Perdana Menteri menggantikan Tun Dr. Mahathir
Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai punca runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan.

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu beliau dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah bersetuju untuk tidak mengumumkan tarikh peralihan kuasa antara mereka berdua.

Ahli Parlimen Port Dickson itu bagaimanapun berkata, tarikh yang dipersetujui tidak akan lebih dari dua tahun.

Namun tegas beliau, apa yang penting ketika ini memberi sokongan kepada Mahathir untuk menangani masalah ekonomi yang serius.

“Ya, kedua-dua kami, saya dan Mahathir telah bersetuju ia tidak akan lebih dari dua tahun (Mei 2020) tetapi saya berkata adalah penting bahawa kami tidak perlu mengumumkan tarikh tersebut.

“Kami mahukan Mahathir untuk mengendalikan negara dengan penuh sokongan, bukan dalam keadaan lemah (lameduck). Kita perlu bersatu dan menumpukan perhatian kepada masalah ekonomi yang serius,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu ramah portal The Hindu semasa lawatannya ke India, semalam.

Ditanya kemungkinan beliau tidak akan menjadi Perdana Menteri walaupun terdapat perjanjian bersama Mahathir, Anwar berkata, beliau tidak perlu bimbang dengan masa depannya

Jelasnya, ini berdasarkan faktor usianya pada hari ini dan pengalaman keluar dan masuk penjara selama ini.

“Saya berusia 71 tahun, dan saya telah ke penjara dan kembali dan masuk serta dan kembali lagi, jadi saya tidak terlalu bimbang tentang masa depan.

“Saya tahu orang berfikir ahli politik tidak bermaksud demikian, tetapi saya lakukan. Que Sera Sera (Apa yang akan menjadi, akan terjadi),” katanya memetik laporan portal itu.

Diminta mengulas sama ada tempoh dua itu terlalu lama untuk menunggu sedang beliau telah melalui masa 20 tahun yang sangat mencabar, sambil ketawa Anwar berkata, beliau mahu menggunakan tempoh menunggu itu secara bebas bertemu sesiapa sahaja tanpa protokol.

“Ia hanya lapan bulan sejak saya dibebaskan dan saya benar-benar mahu mengguna masa, perjalanan dan bertemu orang tanpa semua protokol.

“Perkara ini akan hilang apabila saya mengambil kedudukan kuasa dan saya memerlukan sedikit ruang untuk mengkaji apa yang perlu saya lakukan,” katanya lagi.

Menjawab soalan kedudukan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selepas beliau menjadi Perdana Menteri kelak, Anwar memberitahu, isterinya itu akan meletak jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Ya, Azizah telah memberitahu mahu meletak jawatan ketika saya memegang jawatan kerana beliau merasa tidak sesuai.

“Beliau akan terus memainkan peranannya terutama dalam bidang kesihatan dan kebudayaan dan kebajikan,” jawabnya. – MalaysiaGazette