Sasaran khusus perkataan khianat yang dituju kepada Ahli Parlimen Ampang dan Gombak itu jauh tersasar..

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin seharusnya mengosongkan kerusi parlimen mereka selepas dipecat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Tindakan sama juga perlu dilakukan oleh sembilan Ahli-Ahli Parlimen PKR yang memilih untuk keluar parti bagi membentuk kerajaan pintu belakang.

Ini kerana, perbuatan khianat terhadap parti dengan mensabotaj dan membawa lari kerusi adalah tindakan yang tidak bermaruah dan terkutuk, kata Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman.

Menurutnya, ,ereka yang terlibat seharusnya cakna bahawa kemenangan mereka pada pilihanraya yang lalu adalah melalui Parti Keadilan Rakyat.

“Mereka harus sedar bahawa rakyat memberi mandat melalui undian berlogo parti diatas kertas undi, bukan diatas kapasiti mereka sendiri.

“Mereka seharusnya berasa malu dan memulangkan semula kerusi itu kepada rakyat bagi menentukan calon yang baru,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Ujar beliau, maruah dan integriti mereka telah tercalar dan mereka kini dikenali sebagai pemimpin yang tidak beramanah dan khianat.

Lantaran itu, beliau mencabar kesemua mereka meletakkan jawatan dan mengosongkan kerusi masing-masing bagi menentukan sama ada rakyat mahukan pengkhianat sebagai pemimpin atau tidak. – MalaysiaGazette