Badan Peguam Malaysia akan terus menyuarakan kebimbangannya terhadap penggunaan secara berterusan undang-undang yang menindas, kata presidennya George Varughese.

PUTRAJAYA – Badan Peguam Malaysia akan terus menyuarakan kebimbangannya terhadap penggunaan secara berterusan undang-undang yang menindas, kata presidennya George Varughese.

Beliau menggesa kerajaan untuk menzahirkan komitmen penuh terhadap manifesto pilihan rayanya untuk menghapuskan undang-undang berkenaan tanpa berlengah-lengah lagi.

“Landskap perundangan kita tidak boleh menjadi kapsul masa untuk mundur kepada sejarah penjajahan silam. Undang-undang tersebut hendaklah dimansuhkan kerana undang-undang sedia ada memadai untuk menangani ancaman jenayah dan keganasan,” katanya ketika berucap merasmikan Pembukaan Tahun Perundangan 2019.

Varughese berkata sekiranya undang-undang didapati tidak memadai, penyelesaiannya adalah meminda undang-undang tidak menindas yang sedia ada atau menggubal undang-undang baharu demi memelihara kedaulatan undang-undang.

Beliau berkata sesetengah undang-undang seperti Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Keganasan (POTA), Akta Pencegahan Jenayah 1959 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012 mengandungi peruntukan-peruntukan keras mengenai penahanan pencegahan.

Varughese juga berkata kerajaan tidak sepatutnya membuat undang-undang secara tergesa-gesa seperti ketika sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 lepas di mana beberapa undang-undang tertentu dibawa ke Parlimen secara terburu-buru tanpa melalui proses sempurna dari segi kualiti dan ketahanan, misalnya Akta Anti-Berita Tidak Benar 2018.

Beliau berkata bagi mengelak penggubalan undang-undang secara teburu-buru, Badan Peguam Malaysia mencadangkan Parlimen memanjangkan waktu persidangan untuk memberi lebih masa kepada pembentangan undang-undang tersebut kerana pengukuhan dan reformasi tulen terhadap kedaulatan undang-undang memerlukan tempoh masa dan usaha yang munasabah.

“Dalam era baru ini, Badan Peguam Malaysia tidak mahu ia dilihat sebagai suara pembangkang tetapi sebagai rakan penting dalam memastikan wujudnya semak dan imbang, rakan dalam pelaksanaan undang-undang dan keadilan serta penjaga kedaulatan undang-undang dalam mempertahanakan doktrin pemisahan kuasa yang amat disanjung tinggi,” kata beliau.

Varughese berkata Peguam Negara Tommy Thomas memaklumi akan perlunya dilaksanakan perubahan dan ia memerlukan bantuan daripada semua pemegang taruh dalam memperbaiki dan memperkukuh instrastruktur dan sistem perundangan negara.

“Kami berpegang kepada nilai-nilai sama yang dipegang Peguam Negara iaitu kefahaman tulen terhadap perlembagaan negara, pemisahan bidang kuasa, kedaulatan undang-undang dan mengikuti segala proses undang-undang yang tertakluk,” kata beliau.

Varughese berkata Badan Peguam Malaysia juga berharap lebih banyak pembaharuan dalam perundangan akan dilaksanakan oleh Pejabat Peguam Negara dalam bidang-bidang seperti kebebasan bersuara dan berhimpun, perkahwinan kanak-kanak, penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis dan obligasi antarabangsa.

Beliau berkata keadilan hendaklah sentiasa dilihat sebagai telah dilaksanakan dan pandangan orang ramai terhadap kehakiman adalah amat penting.

Varughese juga berkata Badan Peguam Malaysia menggesa ahli-ahli politik dan media supaya mengekang diri daripada memainkan sentimen perkauman dan agama dan tidak menyentuh sensitiviti rakyat.

“Mereka sebaliknya harus mempengaruhi fikiran rakyat ke arah membina sebuah negara yang sihat demi mempertingkatkan taraf hidup seluruh rakyat,” kata beliau.

— BERNAMA