KUALA LUMPUR – Jualan perdagangan borong & runcit berkembang 8.6 peratus berbanding November 2017.

Peningkatan itu disumbangkan oleh perdagangan runcit yang mengekalkan pertumbuhan dua digit sebanyak 12.6 peratus.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks volum perdagangan borong & runcit meningkat 8.4 peratus kepada 172.2 mata berbanding bulan yang sama setahun lalu.

Peningkatan ini sebahagian besarnya disokong oleh perdagangan runcit (12.3%). Sementara itu, indeks volum pelarasan musim meningkat sebanyak 0.7 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Untuk perbandingan tahunan, nilai jualan perdagangan borong mencatatkan pertumbuhan 6.9 peratus kepada RM51.0 bilion.

Menurutnya, peningkatan ini disokong oleh jualan borong lain-lain pengkhususan, perdagangan borong tanpa pengkhususan dan jualan borong makanan, minuman dan tembakau yang tumbuh masing-masing 10.2 peratus, 7.9 peratus dan 7.6 peratus.

Bagaimanapun, jualan subsektor ini merosot 1.6 peratus bagi perbandingan antara bulan.

Indeks volum perdagangan borong meningkat 6.2 peratus kepada 178.8 mata pada November 2018 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Pada bulan rujukan, jualan perdagangan runcit masih mengekalkan pertumbuhan dua digit untuk merekodkan 12.6 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Pengukuhan ini dipacu oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan dan jualan runcit di kedai khusus yang menjual barangan lain.

Bagi indeks volum, perdagangan runcit turut merekodkan pertumbuhan dua digit pada kadar 12.3 peratus kepada 182.0 mata pada November 2018 manakala bagi indeks pelarasan musim, ianya meningkat 1.7 peratus. – MalaysiaGazette