MELAKA = Kerajaan Negeri akan menaikkan kadar tarif air di negeri ini bagi menampung kos pengurusan dan penyelenggaraan bekalan air, kata Ketua Menteri Adly Zahari.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan bahawa peningkatan kos itu tidak akan membebankan rakyat apabila memberikan insentif kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan rakyat yang melakukan kaedah penjimatan dalam penggunaan air.

Perbincangan sedang dilakukan dengan Syarikat Air Melaka Berhad namun kadar kenaikan tarif ma­sih belum ditetapkan kerana se­tiap negeri mempunyai kadar tarif yang berbeza.

“Kita terpaksa membeli sebahagian daripada air (dari negeri lain) dan kos pengurusan yang semakin meningkat selain keperluan infrastruktur bagi empangan baharu yang mana melibatkan kos, ini antara cabaran kita (sekiranya tarif air kekal) apabila tidak dapat menguruskan air dengan baik sehingga mengakibatkan krisis air,” katanya.

Adly berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kerajaan Negeri Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini. Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Seri Roslan Ibrahim dan barisan exco kerajaan negeri serta kira-kira 400 penjawat awam seluruh negeri.

Pada Selasa lepas, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. A. Xavier Jayakumar dalam Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel berkata kadar tarif air mungkin akan dinaikkan secara berperingkat tahun ini selaras dengan usaha kerajaan untuk menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air di negara ini.

Beliau berkata kenaikan tarif sumber asli itu perlu dilaksanakan bagi menjaga kepentingan pengguna untuk mendapatkan air berkualiti serta menjamin industri tersebut dari sudut perkhidmatan.

Sementara itu, Adly berkata kerajaan negeri sedang melakukan penilaian secara menyeluruh terhadap Taman Mini Malaysia dan ASEAN berikutan kegagalan pihak pemaju pusat pelancongan berkenaan mengurus dan mentadbir produk pelancongan itu lebih-lebih lagi pada Tahun Melawat Melaka 2019.

Beliau turut memberikan skala penarafan tiga daripada 10 terhadap kerja-kerja penyelenggaraan di lokasi pelancongan tersebut termasuk keadaan laluan yang kotor dengan lumut dan dipenuhi tanah tanpa mengambil kira sebarang kerosakan yang dialami.

“Taman ini memiliki aset pelancongan yang menarik dan terletak di pintu masuk Melaka dari Tol Ayer Keroh.

“Justeru, kita memberi tempoh sehingga Mac depan kepada pemaju sedia ada dan akan mempertimbangkan sama ada untuk mengambil alih atau pun mencari pemaju lain sekiranya mereka masih gagal menepati syarat dan piawaian yang ditetapkan,” katanya. – MalaysiaGazette