Presiden Pertubuhan Kebajikan E-Panco Malaysia, Arifin Abu Bakar bercakap selepas menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri agar kerajaan atau kuasa eksekutif tidak campur tangan urusan pemilihan Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong ke-16 di Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 11 JANUARI 2019

PUTRAJAYA – Sebuah NGO, Pertubuhan Kebajikan Epanco Malaysia (PKEM) meminta Tun Dr. Mahathir Mohamad bertegas dalam isu pelantikan Yang di-Pertuan Agong ke-16 tanpa ada campur tangan di belakangnya.

Presidennya, Ariffin Abu Bakar berkata, sikap tegas Perdana Menteri dalam penggiliran Yang di-Pertuan Agong akan meyakinkan rakyat dengan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Kita juga minta Mahathir jangan layan mana-mana desakan pihak tertentu dalam penggiliran itu kerana ia akan merosakkan sistem Raja Berperlembagaan,” katanya pada sidang media di hadapan Pejabat Perdana Menteri  hari ini.

Terdahulu, Ariffin menyerahkan memorandum berhubung desakan NGO itu kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya pada jam 3.42 petang tadi.

MGF11012019_Memorandum Campur Tangan Pemilihan DYMM YDPA 11 JANUARI 2019_01
Presiden Pertubuhan Kebajikan E-Panco Malaysia, Arifin Abu Bakar (dua kanan) menyerahkan memorandum kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya (dua kiri) agar kerajaan atau kuasa eksekutif tidak campur tangan urusan pemilihan Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong ke-16 di Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 11 JANUARI 2019

Kira-kira 30 ahli pertubuhan itu termasuk beberapa ahli dari NGO lain yang turut serta dalam penyerahan memorandum berkenaan hadir.

Menurut Ariffin, beliau juga kecewa dengan sebuah parti politik dalam PH yang lantang menganggap pertubuhan itu sebagai rasis apabila membangkitkan isu kematian seorang anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim baru-baru ini.

“Bila kami desak kerajaan agar telus dalam siasatan kemalangan yang berlaku ke atas Allahyarham Muhammad Adib, parti berkenaan pula menuduh kita rasis.

“Kita langsung tidak boleh bersuara, walaupun apa yang kita suarakan itu berdasarkan undang-undang,” katanya.

Jelas beliau, sikap mudah menuding atau menuduh orang Melayu sebagai rasis amat tidak bertepatan dengan keunikan negara ini yang mempunyai pelbagai kaum dan etnik.

Dalam perkembangan berkaitan, Ariffin juga meminta pihak berkuasa agar lebih tegas dalam menguatkuasakan undang-undang terutama kepada individu yang menghina institusi diraja.

“Kita minta pihak berkuasa ambil tindakan sama seperti yang kerajaan Thailand lakukan ke atas rakyatnya yang menghina raja mereka.

“Pesalah dikenakan hukuman sehingga 150 tahun. Inilah ketegasan yang kita mahu dari kerajaan Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Abu Bakar ketika ditemui wartawan selepas menerima memorandum itu berkata, Pejabat Perdana Menteri bersikap terbuka dalam menerima setiap memorandum.
Bagaimanapun, keputusan itu bergantung kepada pucuk pimpinan yang akan menentukan. – MalaysiaGazette