Khalid Abdul Samad
Khalid Abdul Samad

KUALA LUMPUR –  Kementerian Wilayah Persekutuan akan mendedahkan perincian mengenai penyelewengan dan salah guna kuasa yang didakwa berlaku dalam isu pembinaan bangunan di atas tanah Kerajaan Persekutuan minggu depan.

Menterinya Khalid Abdul Samad bagaimanapun enggan mengulas lanjut perkara itu dan sebaliknya meminta orang ramai menunggu pendedahan kes tersebut yang dikesan pihaknya sebulan lepas.

Beliau berkata, siasatan pihaknya antara lain mengesan terdapat kebenaran merancang yang diluluskan untuk pembinaan seperti bangunan pejabat di atas tanah kerajaan.

“Bagaimana boleh bina bangunan atas tanah kerajaan menjadi kepelikan. Saya diberitahu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telahpun mengeluarkan notis mengosongkan bangunan (yang dibina atas tanah kerajaan).

“Sama ada robohkan ataupun tidak kita akan runding dengan pihak yang membina,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Bicara Minda anjuran Sinar Harian di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini hari ini.

Khalid juga berkata, surat kebenaran untuk mendirikan pembangunan di atas tanah kerajaan pusat tidak ditandatangani oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur sebaliknya oleh pegawai di jabatan yang berkenaan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kementerian akan meneruskan projek Sungai Nadi Kehidupan atau River of Life (RoL) iaitu projek cetusan idea pimpinan kerajaan Barisan Nasional terdahulu bagi memastikan kebersihan sungai di ibu kota.

Beliau berkata, pihaknya akan meningkatkan pelaksanaannya berbanding perancangan asal projek berkenaan ketika kepimpinan kerajaan terdahulu.

“Kita teruskan Projek River of Life. Kita kena teruskan sebab RM3 bilion sudah digunakan,” katanya.

Khalid juga berkata, pihaknya sedang merangka draf Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2040 yang memfokuskan kepada pembangunan berkonsepkan pengangkutan awam.

Katanya,  draf itu yang dijangka siap tahun ini dibuat berasaskan draf Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020.  – MalaysiaGazette