Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah
Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – UMNO menyelar tindakan Senator Bob Manolan Mohamad yang mengeluarkan amaran kepada ketua-ketua kampung Orang Asli atau tok batin di Cameron Highlands.

Dengan menyifatkan perkara tersebut sebagai ugutan, langkah seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana elaun ketua kampong atau pelbagai bentuk bantuan kepada masyarakat Orang Asli perlu diberi tanpa mengira siapa yang mereka sokong, kata Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

“Apatah lagi sebagai sebuah kerajaan, Kerajaan PH (Pakatan Harapan) memang bertanggungjawab menyediakannya kepada mereka yang berhak menerima.

“Jadi membuat ugutan begitu adalah salah sama sekali dan tidak patut dibuat.

“Kita harap Kerajaan PH berhenti daripada membuat ugutan kepada pengundi di sini (Cameron Highlands) kerana rakyat berhak mengundi siapa yang mereka inginkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian dipercayai sebagai respon terhadap kenyataan senator PKR, Bob hari ini pada sesi dialog dengan tok-tok Batin di kubu BN di Pos Betau, Jelai pagi tadi.

Malaysiakini melaporkan dalam ucapannya, Bob menegaskan ketua-ketua kampung Orang Asli atau tok batin di Cameron Highlands mungkin kehilangan gaji dan jawatan mereka jika tidak mengundi kerajaan persekutuan pada Pilihan Raya Kecil 26 Januari ini.

Menurut Bob, pemimpin masyarakat Orang Asli dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kini perlu menyokong agenda kerajaan.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar menegaskan jentera Barisan Nasional (BN) di kawasan itu perlu bekerja kuat dengan penuh strategi pada PRK yang akan berlangsung nanti.

Katanya, UMNO dan BN perlu pastikan parti itu mendapat kemenangan dengan majoriti besar kerana ia mampu memberi isyarat kepada PH yang didakwa banyak memungkiri janji dan berbohong kepada rakyat hingga menimbulkan rasa tidak puas hati.

Tambah beliau, kemenangan BN pada PRK Cameron Highlnads ini penting kerana ia bakal menjadi titik tolak perubahan kepada lanskap politik negara setelah banyak kegagalan dilakukan oleh kerajaan PH baik ekonomi, kebajikan rakyat, menyediakan peluang pekerjaan dan sebagainya.

“Jentera UMNO mesti berusaha kuat dan pastikan seramai mungkin keluar pengundi BN keluar mengundi. Kita bimbang trend keluar mengundi yang rendah dibeberapa pilihan raya kecil sebelum ini juga berlaku disini.

“Justeru, jentera UMNO perlu punyai strategi yang tersendiri untuk keluarkan pengundi. Maka kita perlu fokus dalam soal ini.

“Kita percaya pihak calon DAP akan melakukan pelbagai usaha bagi mengurangkan pengundi keluar mengundi dan tidak menyokong BN. Oleh itu kita mesti lipat gandakan usaha,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan