Azril Rizal Yusuf Mohd Sarit
Temubual bersama Ketua Pemuda Temerloh, Azril Rizal Yusuf Mohd Sarit sempena Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Bilik Gerakan MIC, Tanah Rata, Pahang. foto HAZROL ZAINAL,11 JANUARI 2019.

CAMERON HIGHLANDS – Sekumpulan 60 ahli Pemuda UMNO Temerloh berkonvoi dengan menaiki motosikal dari Lanchang ke Tanah Rata semalam bagi membantu calon Barisan Nasional (BN) pada penamaan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di kerusi P078, di sini, hari ini.

Ketua Pemuda UMNO Temerloh, Azril Rizal Yusof Mohd Sarit berkata, konvoi bermotosikal selama enam jam itu untuk menunjukkan sokongan anak muda bagi mengekalkan kemenangan BN di kerusi itu.

“Kita lihat perkembangan di Cameron Highlands memang begitu positif dan Pemuda UMNO Cameron Highlands pun dah bersedia dan kami ini membantu.

“Penunggang-penunggang ini ada semangat jati diri dan semata-mata untuk tolong calon BN dalam penamaan calon esok.

“Saya melihat positifnya anak muda ini kerana mereka ingin melihat BN menang pada kali ini dan saya melihat Datuk Mohamad Hasan yang memilih calon orang asli memang tepat sekali.

“Calon ini mempunyai latar belakang pendidikan yang bagus dan biodata yang bagus, saya melihat ini pemangkin kepada BN untuk menang pada kali ini,” katanya kepada MalaysiaGazette, di Bilik Gerakan BN-MIC di Tanah Rata, semalam.

MGF11012019_TEMUBUAL BN01
Suasana sekitar Bilik Gerakan MIC sebelum penamaan calon sempena Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Tanah Rata, Pahang. foto HAZROL ZAINAL,11 JANUARI 2019.

Azril Rizal juga mengingatkan calon Pakatan Harapan (PH) agar tidak memandang rendah kepada calon BN dalam kalangan orang asli untuk mengekalkan kemenangan MIC di kerusi ini.

“Walaupun kerajaan PH tidak melunaskan janji mereka, tetapi Kerajaan Negeri Pahang berjaya apabila Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail beliau memberikan bantuan kepada anak-anak muda.

“Jangan fikir BN tak boleh menang kerana kali ini kita akan berikan impak yang bagus untuk piliha raya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette