Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah (tengah) berkenan bercakap pada sidang media diiringi Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Abdul Fahd Mu’adzam Shah Sultan Ahmad Shah (kanan) dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (kiri) berhubung pengumuman pemangku Raja Pahang sebagai Sultan Pahang yang baharu di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang. foto FAREEZ FADZIL, 12 JANUARI 2019

PEKAN – Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah akan diisytihar sebagai Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah.

Gelaran itu dikurniakan selepas Pemangku Raja, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dimasyhur sebagai Sultan Pahang yang baharu menggantikan ayahandanya yang kini gering.

Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah bertitah, gelaran baharu itu sesuai dengan keprihatinan dan sifat kebapaan ayahandanya kepada rakyat Pahang sepanjang memerintah negeri dari tahun 1974 hingga hari ini.

Sementara itu, pemasyhuran Tengku Abdullah sebagai Sultan Pahang keenam akan dilangsungkan di Balai Rong Seri di Istana Abu Bakar, Pekan pukul 11 pagi pada Selasa ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Tengku Abdul Rahman dalam majlis sidang media khas di Istana Abu Bakar di sini hari ini.

Tengku Abdul Rahman berkata, keputusan itu dipersetujui Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang melalui satu mesyuarat khas yang berlangsung di Kuala Lumpur semalam.

“Dalam keadaan sedih dan dukacita, saya dan keluarga menerima hakikat bahawa paduka ayahanda saya tidak lagi boleh memikul tugas dan tanggungjawab sebagai raja pemerintah.

“Dengan keputusan Jumaah Pangkuan Negeri, saya bersama Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah menghadap Paduka Kekanda Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang untuk menyembah maklum dan memohon perkenan untuk dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam.

“Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, Paduka Kekanda saya telah pun bersetuju untuk diisytihar sebagai Sultan Pahang keenam,” kata Tengku Abdul Rahman yang juga Timbalan Pengerusi Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang. – MalaysiaGazette