Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 11 JANUARI 2019.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menjadi penaung diraja Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM).

PEKAN – Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang merupakan anakanda keempat Sultan Ahmad Shah dan Almarhumah Tengku Afzan Almarhum TengkuMuhammad diputerakan pada 30 Julai 1959 di Istana Mangga Tunggal di Pekan, Pahang.

Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Ahmad, Pekan; Sekolah Rendah St. Thomas, Kuantan dan Sekolah Menengah St. Thomas, Kuantan sebelum melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Sejak kecil lagi baginda aktif dalam sukan seperti permainan hoki, bola sepak dan sepak raga jaring.

Atas minat dan kebolehan yang ditunjukkan, baginda terpilih untuk mewakili sekolah, daerah dan negeri di dalam permainan bola sepak.

Tengku Abdullah melanjutkan pengajian dalam bidang Diplomatik dan Hubungan Antarabangsa di Worcester & Queen Elizabeth College pada 1981.

Seterusnya, baginda meneruskan pengajian di Royal Military Academy, Sandhurst, England pada 1979 hingga 1980; Davies College, London – Advance School 1978 hingga 1979 dan Aldenham School, Elstree Hertfordshire – Advance School pada 1975 hingga 1978.

Menerusi bidang ketenteraan, baginda merupakan Brigadier General, Rejimen 505 Askar Wataniah pada 1 April 2004, Kolonel pada 1Jun 2000; Leftenan Kolonel (1 Mei 1999); Kapten, Corp Cavalry of Malaysian Army (1980) dan Leftenan Kedua, Akademi Tentera Diraja, Sandhurst, England pada 1980 dianugerahkan oleh Ratu Elizabeth II.

PELANTIKAN PEMANGKU RAJA

Sewaktu Sultan Ahmad Shah dilantik sebagai Yang Di-Pertuan Agong ketujuh pada 26 April 1979 hingga 25 April 1984, baginda dilantik sebagai Pemangku Raja Pahang. Baginda sekali lagi dilantik sebagai Pemangku Raja Pahang pada 28 Disember 2017 selepas ayahandanya gering.

Pelantikan itu amat sesuai sekali dengan perwatakan baginda yang sering terdedah dengan dunia pentadbiran dan sering mengikuti ayahanda dalam pelbagai acara termasuk bersama rakyat.

Tanggungjawab yang diamanahkan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Ketika menjadi Pemangku Raja inilah baginda menyertai kursus hal-ehwal luar negeri di Queen Elizabeth College, University Oxford, England dan kursus Tatacara Pentadbiran Tanah di Institut Tadbiran Awam Negara, Kuala Lumpur selama dua minggu (pada Disember 1982).

Sebagai Tengku Mahkota Pahang, baginda amat mengambil berat akan hal ehwal rakyat di negeri ini.

Dalam beberapa siri keberangkatan Tengku Abdullah ke daerah-daerah, baginda menggunakan helikopter untuk cepat sampai ke tempat lawatan dan seterusnya dapat meninjau dengan lebih dekat akan masalah dihadapi rakyat.

Hasrat utama baginda ialah untuk memastikan segala aspek pembangunan dapat disampaikan kepada rakyat ke tahap yang maksimum.

Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip)

Memikul tanggungjawab tersebut, baginda tidak ketinggalan dalam menasihati rakyat supaya sentiasa mengimarahkan masjid dengan melaksanakan pelbagai aktiviti keagamaan untuk faedah dunia dan akhirat.

Baginda sentiasa menggalakkan supaya masjid yang telah dibina digunakan dengan sepenuhnya oleh rakyat jelata.

Seperkara lagi yang juga sangat baginda tekankan ialah supaya rakyat di negeri ini sentiasa hidup di dalam suasana harmoni dan bersatu padu.

Baginda menerajui Muip di bawah kepimpinan baginda serta naungan ayahandanya, maka Muip telah berjaya bersama-sama dengan kerajaan negeri menyumbang kepada perkembangan ekonomi, kebajikan umat Islam, serta mengembangkan syiar Islam di negeri ini.

Tengku Abdullah dan ayahandanya jelas sangat memberi perhatian terhadap kebajikan pentadbiran umat Islam di negeri ini.

SUKAN

Semua sedia maklum baginda amat meminati bidang sukan. Ketika di England, baginda mengetuai Pasukan Polo Diraja Pahang menerusi perlawanan antarabangsa di Windsor Polo Club dan berjaya memenangi perlawanan tersebut.

Seterusnya baginda mengambil bahagian di dalam pertandingan di Singapura, Manila dan Brunei.

Di Pekan, baginda menubuhkan pasukan bola sepaknya sendiri yang dinamakan Pasukan Sri Mahkota Alam. Bidang sukan lain seperti go-kart dan penerbangan Ultralight.

Baginda terpilih menjadi Yang Dipertua bagi beberapa pertubuhan seperti Pasukan Equestarian Malaysia, Kelab Tenis Diraja Pahang, Kelab Golf Diraja Pahang, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan mempengerusikan Liga Semi-Pro anjuran FAM.

PELANTIKAN TENGKU MAHKOTA

Pada 1 Julai 1975, baginda dilantik menjadi Tengku Mahkota Pahang dan kemudiannya telah dimasyhurkan pada 23 Oktober 1977 di Istana Abu Bakar, Pekan.

Pada usia baginda menjangkau 20 tahun, baginda telah dilantik menjadi Pemangku Raja Pahang pada 28 April 1979 .

NAMA ISTERI

Tengku Puan Pahang Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang diputerikan pada 5 Ogos 1960. Baginda melangsungkan perkahwinan pada 6 Mac 1986.

PUTERA DAN PUTERI

  1. Tengku Amir Nasser

  2. Tengku Puteri Iman Afzan

  3. Tengku Puteri Ilisha Ameera

  4. Tengku Panglima Besar Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah

  5. Tengku Puteri Ilyana

  6. Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah

  7. Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah

  8. Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah

  9. Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah

JAWATAN DISANDANG

  1. Canselor, Universiti Kuala Lumpur (UniKL)

  2. Canselor, Universiti Pahang Malaysia (UMP)

  3. Canselor, DRB-HICOM University Of Automotive Malaysia

Bola Sepak

  1. President Persatuan Bola Sepak Pahang (1984)

  2. Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia) (- 2014)

  3. Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) (2013- 2017)

  4. Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF)

  5. Naib Presiden Gabungan Bola Sepak Asia (- 2015)

  6. Ahli Jawatankuasa Eksekutif FIFA (FIFA) (2015- sekarang)

Hoki

  1. Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) (2008 – 2015)

  2. Presiden Kesatuan Hoki Asia (2014 – sekarang)

  3. Ahli Lembaga Eksekutif Persekutuan Hoki Antarabangsa (2012 – sekarang)

Polo

  1. Presiden Persatuan Polo Diraja Malaysia (RMPA) (sekarang)

  2. Presiden Kelab Polo Diraja Pahang(RPPC) ( sekarang)

Tenis

1.Presiden Kelab Tenis Diraja Pahang (RPTC)

Skuasy

  1. Presiden Kelab Squash Pahang (PSC)

Golf

1.Presiden Kelab Golf Diraja Pahang (RPGC)

PENCAPAIAN

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Kejohanan Remaja Dunia FIFA 1997 di Malaysia

Ahli Jawatankuasa Penganjur 2003 Piala Konfederasi FIFA, Paris

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur 2011 FIP Polo World Cup, Malaysia

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur 2012 FIH Congress, Kuala Lumpur

Pengerusi Piala Asia AFC 2015 Australia – MalaysiaGazette