Tindakan susulan berhubung kemelut dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis hanya akan dibuat selepas hasil siasatan sepenuhnya diperolehi dalam masa terdekat, kata Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
ALOR SETAR – Tindakan susulan berhubung kemelut dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis hanya akan dibuat selepas hasil siasatan sepenuhnya diperolehi dalam masa terdekat, kata Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata kenyataan yang dibuat Setiausaha Bersatu Perlis, Wan Saiful Wan Jan mengenai penggugurannya yang dibuat atas faktor yang membabitkan krisis integriti kepemimpinan Bersatu Perlis itu perlu diambil serius berikutan laporan polis telah dibuat.

“Kita (Bersatu) sangat tekankan soal integriti dan apabila ada dakwaan serius seperti itu siasatan menyeluruh perlu dilaksanakan. Atas sebab itu ibu pejabat Bersatu yang diketuai Setiausaha Agungnya Datuk Marzuki Yahya, telah mengambil alih kepimpinan Bersatu Perlis serta-merta.

“Tindakan ini diambil kerana hendak redakan keadaan selain bagi membolehkan siasatan dimulakan dan semua jawatan di kepimpinan Bersatu Perlis juga dibekukan termasuk tindakan pengguguran Wan Saiful sebagai Setiausaha,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ibu Pejabat Bersatu mengambil alih kepimpinan Bersatu Perlis berikutan kemelut dalaman yang melanda parti di negeri itu selepas keputusan dibuat dalam mesyuarat bersama Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam mengikut Fasal 14, Perlembagaan Bersatu bagi menyelesaikan konflik berkenaan.

Kemelut bermula selepas pengguguran Wan Saiful, dengan alasan faktor kesihatan, namun Wan Saiful kemudian mendakwa pengguguran itu dibuat atas faktor lain yang membabitkan krisis integriti kepemimpinan Bersatu Perlis.

— BERNAMA