Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Mohd Farid Mohd Nor bercakap kepada MalaysiaGazette di Pusat operasi SPRM di Ch Merlin Hotel, Tanah Rata, hari ini.

CAMERON HIGHLANDS – Susulan penularan gambar seorang wanita berbaju Pakatan Harapan (PH) mengagihkan wang kepada komuniti Orang Asli, Pergerakan Pemuda UMNO Pahang hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketuanya, Mohd. Farid Mohd Nor ketika ditemui Malaysia Gazette memberitahu, pihaknya membuat laporan di pejabat operasi SRPM di CH Merlin Hotel dei Tanah Rata di sini pukul 3.15 petang dan kemudiannya diikuti MIC Pahang.

Bagaimanapun, beliau dimaklumkan, laporan salah laku itu hanya boleh diambil tindakan sekiranya  diajukan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Berikutan prosedur SPRM itu, beliau bersama lebih 50 ahli Pergerakan Pemuda UMNO Pahang akan membuat laporan kepada PDRM di Balai Polis Tanah Rata petang ini.

Laporan itu merujuk kepada gambar yang tular di laman media sosial memaparkan seolah-olah jentera kempen PH Cameron Highlands sedang mengagihkan wang kepada beberapa individu memakai baju sama dipercayai komuniti Orang Asli di sebuah hotel di Tanah Rata.

Tinjauan Malaysia Gazette selepas proses penamaan calon di Persiaran Dayang Endah semalam turut mendapati sekumpulan lebih 100 Orang Asli berjalan kaki menuju ke sebuah hotel di Tanah Rata.

Lebih mencurigakan apabila lebih lima buah bas diletakkan di luar hotel terbabit dan dipercayai untuk membawa komuniti itu ke pusat penamaan calon PRK Cameron Highlands di Sultan Ahmad Shah, semalam. – MalaysiaGazette

PH ‘beri’ duit kepada Orang Asli boleh pula?