Azhar Azizan Harun
Azhar Azizan Harun

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan jentera parti yang mengambil bahagian dalam pertandingan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands untuk mempamer dan mengedarkan bahan kempen berupa logo dan gambar pemimpin parti masing-masing.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, tidak menjadi kesalahan bagi mana-mana parti yang bertanding menampal gambar pemimpin mereka sebagai bahan kempen.

“Calon dibenarkan untuk mempamer dan mengedarkan bahan kempen pilihan yang mengandungi gambar calon, lambang atau simbol parti dan gambar pemimpin parti yang diwakilinya.

“Ini termasuk lambang atau simbol parti dan gambar pemimpin parti komponen, gabungan atau pakatan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan seorang warganet bernama Don Juan deRyezal @khairulryezal, yang bertanyakan kepada SPR dan Azizah atau Art Harun berhubung poster yang memaparkan gambar Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

Dalam hantaran menerusi akaun Twitternya warganet itu menulis, “sekadar bertanya kepada @sprgovmy dan @art_harun, apa kena mengena dua YB ini dengan calon yang bertanding di Cameron Highlands?”

Sebelum ini, menjelang kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), SPR melarang gambar pemimpin parti atau gabungan parti dipamerkan di kawasan Parlimen dan DUN yang bukan merupakan kawasan pertandingannya.

Antara syarat dan peraturan SPR ketika itu, hanya gambar calon yang bertanding di kawasan berkenaan dan logo parti yang ditandinginya saja boleh dipamer dan diedarkan. – MalaysiaGazette