Isham Jalil
Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Dalam Perlembagaan atau mana-mana dokumen dan peraturan Majlis Raja-Raja Melayu tidak dinyatakan turutan penggiliran Yang di-Pertuan Agong (YDPA) antara sembilan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu.

Presiden Pertubuhan Jalinan Sukarelawan Malaysia (Sukarelawan Malaysian), Isham Abdul Jalil dalam tulisan terbaharunya hari ini menyatakan, penggiliran sedia ada mengikut tradisi bermula dari tahun 1957 selepas kemerdekaan.

Katanya, ketika itu, sistem pemerintahan yang dipilih untuk Tanah Melayu adalah sistem Raja Berperlembagaan seperti di United Kingdom.

“Maka dalam Perlembagaan Tanah Melayu yang ditulis pada ketika itu menyatakan keperluan YDPA sebagai Ketua Negara dan ia perlu dilantik antara sembilan Raja-Raja Melayu untuk tempoh lima tahun sepenggal.

“Untuk pemilihan YDPA yang pertama, Majlis Raja-Raja Melayu pada ketika itu berpendapat dan telah membuat keputusan bahawa baginda dipilih dan dilantik daripada raja Melayu yang paling kanan iaitu raja yang paling lama bertakhta sebagai sultan, raja atau Yang di-Pertuan Besar di sesebuah negeri mengikut tarikh pertabalan.

“Dengan itu Tuanku Abdul Rahman, Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah dipilih dan dilantik oleh Majlis Raja-Raja Melayu sebagai YDPA Tanah Melayu yang pertama pada tahun 1957 kerana baginda adalah raja paling kanan atau paling lama bertakhta pada ketika itu,” katanya.

Tulisnya lagi, pada ketika itu juga senarai kekananan Raja-Raja Melayu mengikut negeri telah disediakan berdasarkan kekananan raja atau tempoh raja bertakhta di negeri sejak pertabalan.

Oleh itu, katanya, penggiliran YDPA bagi pusingan pertama tahun 1957 hingga 1994 telah dibuat mengikut negeri berdasarkan kekananan raja iaitu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ditabalkan 1934, Sultan Selangor (1939), Raja Perlis (1949), Sultan Terengganu (1949), Sultan Kedah (1959), Sultan Kelantan (1961), Sultan Pahang (1975), Sultan Johor (1981) dan Sultan Perak (1985).

Walaupun turutan penggiliran itu tidak tercatat dalam perlembagaan dan Majlis Raja-Raja Melayu tidak terikat dengan turutan penggiliran tersebut namun setiap lima tahun sejak tahun 1957 apabila Majlis Raja-Raja Melayu bersidang dan membuat undian rahsia untuk pemilihan YDPA yang baharu, keputusan undi rahsia telah setiap kali memihak kepada turutan penggiliran itu.

Pada tahun 1989, apabila Sultan Perak menjadi YDPA kesembilan tahun 1994, semua negeri yang mempunyai raja Melayu telah mempunyai raja yang pernah menjadi YDPA.

“Oleh itu, pusingan pertama penggiliran mengikut negeri seperti itu sebenarnya telah tamat pada tahun 1994. Selepas 1994, apabila pusingan kedua penggiliran YDPA bermula, sebenarnya Majlis Raja-Raja Melayu boleh mencadangkan turutan penggiliran yang baharu berdasarkan kepada senarai kekananan raja-raja Melayu terkini pada ketika itu.

“Ini memandangkan kekananan raja-raja Melayu mengikut negeri telah berubah kerana kemangkatan dan pertabalan raja-raja yang baru,” katanya.

Bagaimanapun tulis Isham lagi, dalam pusingan kedua dari tahun 1994 hingga tahun 2016, keputusan undi rahsia Majlis Raja-Raja Melayu bagi pemilihan Yang di-Pertuan Agong sebanyak enam penggal berturut-turut masih memihak dan mengikut penggiliran yang asal seperti dalam pusingan pertama.

Sebab itu, ujar beliau, selepas Sultan Perak menjadi YDPA pada tahun 1989 sehingga tahun 1994, turutan YDPA seterusnya yang dipilih dalam penggiliran pusingan kedua oleh pengundian Majlis Raja-Raja Melayu adalah daripada Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah dan Kelantan, iaitu seperti turutan penggiliran dalam pusingan pertama.

Ini bermaksud, Majlis Raja-Raja Melayu dan sembilan Duli-Duli Raja-Raja Melayu yang mengundi untuk setiap kali pemilihan YDPA yang baharu sejak  tahun 1994 telah membuat keputusan untuk mengikut turutan penggiliran negeri asal seperti pusingan pertama dahulu walaupun pusingan itu tamat pada tahun 1994 dan senarai kekananan raja-raja telah berubah sejak itu.

Ini juga bermaksud, Duli-Duli dan Majlis Raja-Raja Melayu memberikan penekanan kepada penggiliran mengikut turutan negeri berbanding penggiliran mengikut kekananan raja terkini.

Sebelum ini, Sultan Muhammad V telah dipilih sebagai YDPA ke-15 oleh pengundian Majlis Raja-Raja Melayu pada tahun 2016 walaupun kedudukan baginda dalam senarai kekananan raja bukan antara yang tertinggi memandangkan baginda baru ditabalkan sebagai Sultan Kelantan hanya beberapa tahun sebelum itu.

Dalam pusingan kedua ini, hanya tinggal tiga negeri lagi yang mana rajanya belum menjadi Yang di-Pertuan Agong iaitu Pahang, Johor dan Perak – mengikut turutan penggiliran asal.

Duli-Duli dan Majlis Raja-raja Melayu adalah satu institusi yang amat tertib dalam menjaga tradisi dan ia mempunyai kehalusan yang tinggi.

Memandangkan sejak tahun 1994 sebanyak enam kali berturut-turut sebelum ini Duli-Duli dalam Majlis Raja-Raja Melayu telah mengundi mengikut turutan asal negeri bukan senarai kekananan raja-raja terkini adalah sukar untuk digambarkan jika pemilihan yang ketujuh daripada sembilan ini tiba-tiba memecah tradisi atau ‘melangkah bendul’.

Sekiranya Majlis Raja-Raja Melayu ingin menukar turutan penggiliran mengikut senarai kekananan raja terkini, berkemungkinan besar ia hanya akan dilakukan pada tahun 2034 iaitu setelah pusingan kedua berakhir 15 tahun dari sekarang.

Oleh itu, Majlis Raja-Raja Melayu akan sekali lagi mengundi dan membuat keputusan mengikut tradisi umpama ‘menarik rambut dalam tepung’.

Jika ini berlaku, tidak sukar digambarkan sekiranya Majlis Raja-Raja Melayu akan mengundi dan memilih Sultan Pahang sebagai YDPA ke-16 walaupun baginda baru sahaja ditabalkan sebagai sultan.

“Sebagai rakyat marhain, saya dan seluruh rakyat jelata terutama dari negeri Pahang berbesar hati, menjunjung kasih dan mengucapkan tahniah serta dirgahayu jika Sultan Pahang yang baharu, Tengku (Sultan) Abdullah Ibni Sultan Ahmad Shah diangkat sebagai Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-16. – MalaysiaGazette

Pemasyhuran sebagai Sultan Pahang letakkan Tengku Abdullah calon Agong