Seekor burung Tiong yang berada di atas kepala tempat duduk pesawat SIA.

SINGAPURA – Sebuah pesawat Singapore Airlines (SIA) yang dalam penerbangan ke London ‘ditumpang’ seekor burung Tiong.

Haiwan itu berada dan bersama dengan penumpang kelas perniagaan dalam penerbangan selama 12 jam.

Dalam satu kenyataan, jurucakap SIA mengesahkan burung itu ditemui dalam penerbangan SQ322 pada Isnin lalu.

Dalam rakaman video yang dikongsi di Facebook menunjukkan burung tersebut bertenggek di atas kepala kerusi pesawat.

Seorang anak kapal dilihat cuba menangkapnya tetapi haiwan itu berjaya mengelak.

SIA berkata, burung itu diserahkan kepada pihak berkuasa kuarantin haiwan apabila pesawat itu mendarat di Lapangan Terbang Heathrow, London.

Namun, SIA tidak menjelaskan bagaimana burung itu menyelinap masuk ke dalam pesawat. – MalaysiaGazette