sdr

CAMERON HIGHLANDS – Pengundi Parlimen Cameron Highlands diingatkan tidak salah memilih wakil rakyat  bagi mengelakkan kehilangan dana awam seperti mana berlaku dalam pentadbiran lalu.

Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani berkata, sebagai seorang peguam, M. Manogaran sudah pasti tidak mengulangi sikap tidak amanah pemimpin terdahulu.

“Calon Pakatan Harapan (PH) ini seorang peguam, sudah pasti dia tidak akan mencuri wang seperti yang dilakukan pemimpin BN.

“Bila wang tidak dicuri, kita dapat memastikan Cameron Highlands tidak ketinggalan daripada pembangunan,” katanya berucap pada Ceramah Harapan di Kampung Raja malam tadi.

Abdullah juga berkata, walaupun PH mempunyai suara majoriti di Dewan Rakyat namun kerusi parlimen itu amat penting untuk mengurangkan pengaruh BN di Pahang.

“Kita sudah menguasai kerajaan Persekutuan, Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Kedah dan Pulau Pinang.

“Tapi Pahang masih dikuasai oleh Kerajaan Negeri BN dan Pahang satu-satunya negeri yang paling banyak berhutang dengan kerajaan Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, menyentuh isu harga barang meningkat, Abdullah menegaskan, rakyat tidak seharusnya menyalahkan kerajaan kerana kenaikan harga itu turut dirasai di seluruh dunia.

Katanya, keadaan semakin buruk apabila hutang negara yang ditinggalkan BN sebelum ini sehingga RM31 bilion turut memberi kesan.

“Negara ada hutang yang tinggi, kita kena bayar faedah RM31 bilion. Sebab itu barang ada tinggi (disebabkan) hutang dibuat buat BN sekarang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette