Senarai Lembaga Pengarah Yayasan Pelajaran Johor sebelum jawatan-jawatan politik diubak kepada Ahli Lembaga Pengarah YPJ.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin terus menyindir pelantikan pemimpin politik dalam syarikat milik kerajaan (GLC).

Yang terbaharu, Khairy menyindir pelantikan pemimpin akar umbi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebagai ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pelajaran Johor.

Mereka ialah Karmaine Sardini (Ketua Bahagian PPBM Tanjung Piai) dan Zais Akil (Ketua Bahagian PPBM Johor Bahru).

“At least cover lah sikit jawatan politik tu. Letak lah jawatan NGO kangkung mana-mana pun. Ni dah tak kisah nak cover, dah tak segan. Parti menguasai kerajaan! Hidup Malaysia Baharu!,” kata Ahli Parlimen Rembau itu.

Sebelum ini, Pakatan Harapan dalam manifesto semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berjanji tiada lantikan politik untuk menerajui GLC, sebaliknya ahli Lembaga Pengarah dipilih dalam kalangan golongan profesional.

Namun, beberapa lantikan politik mendapat tempat dalam GLC.

 

Ia termasuk aktivis undang-undang PPBM, Mohamed Haniff Khatri Abdulla dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda).

Manakala ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi pula mengetuai Mara Corporation Sdn Bhd dan Dr. Sukiman Sarmani sebagai Pengerusi UNITEK-Mara.

Sebagai rekod, di dalam manifesto PH, dalam Janji 22 ada menyebut, ‘Menjadikan pentadbiran semua syarikat milik kerajaan (GLC) setaraf dengan piawaian antarabangsa’ dan akan memastikan pelantikan ahli lembaga pengarah ke dalam GLC nasional dan negeri adalah dari kalangan golongan professional, dan bukan berdasarkan kaitan politik mereka.

Bagaimanapun, baru-baru ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Mohamed Azmin Ali berkata, pelantikan politik hanya akan dipertimbangkan untuk Lembaga Pengarah GLC jika mereka mempunyai merit berdasarkan kemahiran dan kelayakan. – MalaysiaGazette