Calon Pakatan Harapan, Manogaran Marimuthu (dua kanan) bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanah Rata, Chiong Yoke Kong (kanan) serta yang lain mengangkat tangan pada Majlis Ceramah Umum Pakatan Harapan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.078 Cameron Highland di Kampung Raja, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 14 JANUARI 2019.

CAMERON HIGHLANDS – MIC disifatkan ‘penakut’ selepas berdepan dengan ‘kemarahan’ masyarakat Melayu berikutan isu rusuhan kuil Sri Maha Mariamman Seafields sehingga kematian ahli bomba Allahyarham Mohamad Adib Mohd. Kassim.

Sebaliknya DAP mendabik dada mengatakan mereka jauh lebih berani dengan meletakkan calon M. Manogaran yang pernah kalah dua kali di kawasan itu namun masih berani ‘memperjudikan’ calon sama.

Ahli Dewan Undangan Negeri Tanah Rata, Chiong Yoke Kong mendakwa, jelas sekali MIC ‘kecut perut’ sehingga sanggup melepaskan sahaja kerusi tradisi yang selama ini dimenanginya.

“Pelik betul, baru satu isu terus takut, kecut tidak mahu bertanding. Saya tak cakap, Presiden MIC sendiri dalam satu sidang media pihaknya enggan bertanding kerana isu kuil. Orang Melayu marah jadi mereka kata tidak mahu tanding.

“Begini pemimpin yang anda mahu undi? Atau undi calon Pakatan Harapan (PH), Manogaran walaupun kalah dua kali di kawasan sama iaitu di Cameron Highlands, masih mahu bertanding dengan berani.

“Kenapa MIC tidak berani berjuang? Kita sebenarnya perlukan calon yang bukan sahaja berani tetapi sebenarnya akan perjuangkan permasalahan rakyat bukan lari seperti ini,” katanya pada ceramah di Kampung Raja, Cameron Highlands malam tadi.

MIC tidak mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan memberi laluan kepada calon baharu mewakili Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd. Noor bagi memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan tersebut.

Jelas Yoke Kong, pengundi perlu membuat keputusan tepat kali ini  bagi memastikan undi mereka diberikan kepada calon yang berani menghadapi apa sahaja dan tidak lari apabila berhadapan dengan  cabaran.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh dalam ucapan berapi-apinya menyeru warga Cameron Highlands memastikan kemenangan besar hanya diberikan kepada Manogaran seandainya mahu perubahan nyata.

“Dulu ketika kempen PRU-14, saya ingat penduduk kawasan ini dalam kalangan masyarakat Cina menyokong sehingga mencapai 95 peratus manakala India dalam 80 peratus.

“Bagaimanapun, masyarakat Melayu hanya memberikan kita dalam 30 peratus sahaja. Itu juga sokongan yang kuat. Saya cuma berharap kali ini kita akan dapat lebih daripada yang dulu,” ujarnya. – MalaysiaGazette