Azhar Azizan Harun
Azhar Azizan Harun

KUALA LUMPUR – Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Azhar Azizan Harun berkuasa untuk menentukan tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Dewan Undangan Negeri Semenyih yang bakal diadakan, walaupun tanpa kehadiran ahli-ahli suruhanjaya yang lain.

Azhar, ketika mendedahkan perkara itu berkata, SPR juga tidak perlu mengadakan mesyuarat untuk memutuskan tarikh pilihan raya dan tarikh-tarikh penting lain yang berkaitan dengan pilihan raya kecil berkenaan.

“Tidak perlu mengadakan mesyuarat. Hanya perlu membuat keputusan. Sekiranya ada ahli-ahli yang lain, maka sudah tentulah majoriti ahli suruhanjaya mesti bersetuju (dengan penetapan tarikh pilihan raya itu).

“Tetapi jika hanya ada saya seorang, saya akan buat keputusan,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program siaran langsung bual bicara “The Nation” menerusi saluran BNC di Wisma Bernama, di sini hari ini.

SPR terdiri daripada tujuh ahli termasuk pengerusi, timbalan pengerusi dan lima ahli suruhanjaya.

Pelantikan mereka diperkenankan oleh Yang di Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

Azhar berkata, fungsi suruhanjaya itu tidak terjejas dengan peletakan jawatan mana-mana ahli suruhanjaya, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi SPR itu yang mengesahkan bahawa SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Dewan Undangan Negeri Selangor mengenai kekosongan kerusi Semenyih itu hari ini berkata keputusan mengenai PRK itu akan dibuat menjelang minggu depan.

“Kami akan buat keputusan tidak kurang dari empat hari mulai hari ini dan tidak lebih 10 hari dari hari ini,” kata beliau.

PRK Semenyih diadakan berikutan kematian mengejut penyandangnya Bakhtiar Mohd Nor kerana serangan jantung pada Jumaat lepas.

PRK itu adalah yang keenam diadakan sejak Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei tahun lepas.

Dalam perkembangan lain, Azhar berkata, kekosongan jawatan enam ahli suruhanjaya termasuk timbalan pengerusinya yang meletak jawatan pada 1 Januari, akan diisi segera.

“Saya tidak terlibat dalam proses pelantikan mereka, jadi saya tidak tahu apa statusnya. Tapi saya fikir (cadangan nama-nama calon) sedang diteliti, saya yakin mereka akan dilantik segera,” katanya.

Terdahulu, dalam program bual bicara itu, Azhar berkata, SPR sedang meneliti cadangan untuk memperkenalkan sistem e-undi di Malaysia, yang disifatkannya sebagai lebih efektif dari segi kos, lebih efisien dan sukar ditipu.

Bagaimanapun, katanya cadangan itu memerlukan lebih banyak kajian termasuk dari aspek perundangan lain dan ia mungkin tidak dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Tidak pada pilihan raya umum akan datang mahupun pada PRU16,” kata beliau. – BERNAMA