Bekas Menteri Luar yang juga Ahli Parlimen Barisan Nasional, Datuk Seri Anifah Aman mengumumkan keluar UMNO.
Anifah Aman

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak seharus dengan sewenang wenangnya melakukan sebarang tindakan provokasi ke atas negara lain atau membiarkan sesiapa sahaja tanpa maklumat serta latar belakang yang kukuh memberi ulasan tanpa memikirkan kesan daripada tindakan itu.

Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, Singapura adalah salah satu rakan Malaysia yang sering menjadi sekutu rapat dalam memperjuangkan pendirian dalam isu-isu multilateral dan antarabangsa  yang mana kedua-dua buah negara mempunyai nilai-nilai persamaan.

“Nilai dan elemen seperti inilah yang perlu diambilkira dalam menjalinkan hubungan diplomatik yang sihat.

“Janganlah kerana keegoaan kita memusnahkan apa yang telah dibina selama ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hubungan antara Malaysia dan Singapura dilihat terjejas berikutan penangguhan Mesyuarat ke-14 Jawatankuasa Bersama Menteri bagi Iskandar Malaysia (JMCIM).

Singapura mahu mesyuarat itu ditangguhkan kerana mendakwa Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian telah menceroboh perairan republik itu pada 9 Januari lalu semasa semasa melakukan lawatan ke pelabuhan Johor Bahru.

Bagaimanapun, Osman menegaskan beliau tidak menceroboh perairan Singapura dan hanya melihat pasukan keselamatan Malaysia melakukan tugas mereka.

Anifah berkata, beliau terpanggil untuk menyatakan pandangan berkaitan isu dua hala antara Malaysia dengan Singapura yang telah menjadi berita sensasi dalam media kedua-dua negara.

Tambahnya, sewaktu memegang jawatan Menteri Luar beliau juga sering berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam mengurus hubungan dua hala dengan negara tetangga Malaysia.

Walaupun banyak dugaan dan halangan, katanya, Malaysia sentiasa dapat mengharungi semua ujian dengan tenang dan berkesan.

“Negara jiran tetangga sering memuji kecekapan dan kebijaksanaan diplomasi yang kita tonjolkan.

“Sudah tentunya ia merupakan hasil rundingan dan usaha diplomatik disebalik tabir oleh pegawai-pegawai Wisma Putra yang bekerja tanpa mengira masa yang telah membuahkan kejayaan cemerlang bagi negara,” katanya.

Menurut Anifah, Wisma Putra memainkan peranan penting dalam menangani isu-isu rumit dunia diplomasi.

Jelas beliau, hasil rundingan di peringkat pegawai dibawa ke pertimbangan Menteri Luar Negeri sebelum diputuskan oleh Perdana Menteri.

Jika kata putus gagal dicapai, katanya, usaha-usaha lain akan dilaksana dengan membawa isu berkaitan ke pengadilan atau tribunal antarabangsa.

Usaha seperti ini sudah tentu dilakukan secara berhemah dan bijaksana, katanya. – MalaysiaGazette