Ahmad Shapawi Ismail
Ahmad Shapawi Ismail

KUALA LUMPUR – Majlis Sukan Negara (MSN) kecewa dengan tuduhan melulu atlet lontar cakera kebangsaan, Muhammad Irfan Shamsuddin terhadap badan sukan itu dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdullah.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, tuduhan atlet itu berhubung pemecatan jurulatih peribadinya dan terpaksa menggunakan belanja sendiri untuk ke pusat latihan, tidak ada kaitan dengan arahan atau pandangan menteri.

“Saya sebagai Ketua Pengarah MSN mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap tuduhan tersebut dan sebarang keputusan yang diambil tidak ada kaitan dengan arahan atau pandangan Syed Saddiq.

“Apa yang saya mahu tegaskan di sini, kami amat kecewa dengan tuduhan melulu yang tidak sesuai dikeluarkan oleh Muhammad Irfan sebagai atlet kebangsaan dan saya terpanggil untuk memberi penjelasan mengenai apa sebenarnya yang berlaku,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Muhammad Irfan menerusi akaun Twitternya yang menegur dan mempersoalkan misi serta visi Kementerian Belia dan Sukan dalam membuat rombakan jurulatih bagi acara olahraga.

Beliau turut melontarkan pertanyaan itu kepada Syed Saddiq berhubung tindakan kementerian membubarkan Program Podium dan menamatkan serta merta kontrak jurulatihnya, Frank Petrovic.

Menurut Ahmad Shapawi, tuduhan Muhammad Irfan itu sebenarnya berkait rapat dengan keputusan Jawatankuasa Kerja Sukan Olahraga yang bermesyuarat pada 15 Januari lalu.

Katanya, mesyuarat itu dihadiri Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim dan Ketua Jurulatih Olahraga, Zainal Abas, wakil Majlis Olimpik Malaysia (MOM), wakil Institut Sukan Negara (ISN), wakil Kementerian Pendidikan dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Dakwaan Muhammad Irfan bahawa KBS, MSN dan KOM telah menamatkan kontrak jurulatih peribadi beliau, Frantisek Petrovic yang selama ini telah melatih beliau sehingga berjaya ketika ini, tidak benar sama sekali.

“Sebaliknya keputusan MSN tidak menawarkan kontrak baru kepada Petrovic berdasarkan perbincangan bersama MSN, ISN, MOM dan KOM yang mana Jawatankuasa Pemilihan Atlet dan Jurulatih pada 5 Disember lalu berdasarkan prestasi semasa Muhammad Irfan sepanjang tahun itu terutamanya di temasya Sukan Komanwel dan Asia 2018.

“Di samping itu, atas permintaan peribadi beliau sendiri yang merasakan sudah terlalu lama menggunakan khidmat jurulatih yang sama, tetapi, kerana tidak mahu mengecilkan hati jurulatih tersebut, Muhammad Irfan meminta MSN mengambil tindakan itu,” tegasnya.

Ini katanya, boleh dilihat dengan usaha Muhammad Irfan sendiri pergi ke Eropah pada November lalu untuk mencari calon jurulatihnya yang baharu.

Ujarnya, jika Muhammad Irfan tidak setuju dengan keputusan MSN untuk tidak melanjutkan jurulatih peribadinya, kenapa dengan tergesa-gesa beliau sanggup mengeluarkan belanja sendiri mencari pengganti kepada jurulatihnya itu.

MSN dan KOM, menurut Ahmad Shapawi, telah mencadangkan agar Muhammad Irfan berlatih dengan jurulatih luar negara sedia ada iaitu Cik Gu Yuan yang merupakan jurulatih acara lontaran dari China bersama dengan atlet lontaran yang lain, tetapi tidak dipersetujuinya.

Pada 7 Januari lalu, juga katanya, atlet itu telah mengemukakan permohonan kepada KOM dan MSN untuk latihan di Eropah dan satu-satunya calon jurulatih dari Republik Czech, Imrich Bugar yang berumur 64 tahun.

“Jawatankuasa Kerja dalam masa yang terhad telah mengambil perhatian dan membincangkan cadangan Muhammad Irfan dan mencadangkan kepada KOM untuk berbincang semula dengannya mengenai calon itu khususnya kemampuan dan rekod kejurulatihan Imrich Bugar supaya jurulatih tersebut nanti sekiranya dilantik akan dapat melaksanakan tugas melatih beliau dan beberapa atlet lontaran yang lain juga.

“Jawatankuasa ini juga mengambilkira pandangan KOM supaya cadangan Muhammad Irfan berlatih ke luar negara yang ketika ini musim sejuk perlu diteliti dan dibincangkan semula dengan Ketua Jurulatih Olahraga Kebangsaan,” katanya.

Ini kerana, pihaknya mendapati tiada maklumat lengkap mengenai pusat latihan yang akan digunakan khususnya ketika musim sejuk sekarang ini yang jelas tidak mempunyai pertandingan luar dewan bagi acara padang seperti acara lontaran itu.

“Kita juga mendapati tidak ada  program latihan terperinci dari segi skop latihan, jurulatih yang akan mengendalikan latihan, khidmat sokongan Sains dan perubatan sukan yang akan diperolehinya.

“Selain itu, tidak ada sebarang surat rasmi dari pihak Republik Czech dan Antalya, Turki sama ada persatuan atau kelab olahraga yang boleh menyatakan persetujuan mereka menerima Muhammad Irfan sebagai pelatih di sana, apatah lagi sebut harga rasmi juga tidak disertai bersama cadangan tersebut.

“Apa yang dikemukakan Muhammad Irfan hanyalah sehelai kertas yang mengandungi keperluan kewangan yang dipohon dari MSN dan KOM dan juga biodata ringkas berkenaan calon jurulatih, Imrich Bugar,” ujar beliau.

Sehubungan itu, kata Ahmad Shapawi, Jawatankuasa Kerja telah memutuskan untuk KOM khususnya Karim bersama Ketua Jurulatih Olahraga Kebangsaan mengadakan perbincangan lanjut dengan Muhammad Irfan.

“Saya sendiri telah menghantar pesanan ringkas kepada Muhammad Irfan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja untuk mengadakan perbincangan semula dengan KOM dan berhubung dengan atlet itu melalui mesej pesanan ringkas untuk mengadakan perbincangan semula.

“Malangnya belum pun berbincang, Muhammad Irfan telah membuat tuduhan melulu dan lebih mengecewakan tuduhan itu ditujukan kepada menteri yang selama ini telah berusaha kuat bagi mendapatkan peruntukan dan keyakinan kerajaan dan pihak swasta membantu pembangunan sukan negara dalam keadaan kita terpaksa berbelanja dengan berhemah berikutan kekangan kewangan negara ketika ini,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan