Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Calon Barisan Nasional, Ramli Mohd Noor (kiri) beramah mesra dengan sebahagian penduduk setempat ketika sesi walkabout sempena Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Kampung Raja, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 17 JANUARI 2019.

TANAH RATA – Dakwaan bahawa Cameron Highlands akan terbantut sekiranya rakyat memilih calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd Nor bukan sahaja tidak berasas bahkan cuba menafikan jasa parti itu sebelum ini.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, apa yang dinikmati rakyat pada hari ini adalah sumbangan besar kerajaan BN dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hanya menyambung usaha itu.

“Tidak (benar) sebab pertamanya banyak projek sambungan zaman BN patut diteruskan dan kedua di sini soal tanah lebih diutamakan dan itu bawah kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri boleh menimbangkan apa-apa yang patut untuk memberi kemudahan rezeki ekonomi kepada masyarakat tempatan,” katanya kepada pemberita di Kampung Raja, di sini, hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berharap pengundi di kerusi Parlimen Cameron Highlands mengundi PH supaya pembangunan di kawasan itu tidak terbantut di bawah pentadbiran BN.

Menteri Kewangan itu juga berkata, sekiranya PH menang dan kemudiannya gagal membawa perubahan kepada kawasan tersebut, pengundi boleh menukar undi mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). – MalaysiaGazette