Gambar hiasan. foto: FAREEZ FADZIL, 24 NOVEMBER 2018

KOTA BHARU – Pemain yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia perlu menyumbangkan khidmat yang besar kepada pasukan yang diwakili setaraf dengan gaji tinggi yang dibayar oleh persatuan.

Legenda bola sepak negara Dali Omar berkata, beliau tidak menafikan bayaran tinggi kepada pemain satu perkembangan positif arena bola sepak negara namun sebaliknya pemain perlu memberikan sumbangan yang besar kepada pasukan.

“Kita tidak mahu dalam persiapan musim, persatuan berebut-rebut untuk mendapatkan seseorang pemain dengan tawaran-tawaran gaji yang lumayan kepada pemain untuk memperkuatkan pasukan.

“Apabila sah mendapat pemain tersebut, persatuan kecewa harapan kepada pemain itu tidak seperti diharapkan dan akhirnya pemain itu hanya memanaskan bangku simpanan akibat mutu pemainan mengecewakan, persatuan terpaksa membazirkan wang untuk membayar gaji yang tinggi seperti kontrak perjanjian,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Sebelum ini, nilai klausa pelepasan pemain menjadi perhatian peminat tempatan selepas beberapa pasukan mula mewujudkan perkara itu dalam kontrak pemain bagi mengelak berlaku isu rundingan ‘pintu belakang’.

Antaranya klausa pelepasan pemain kebangsaan seperti Akhyar Rashid ditetapkan pada kadar RM12 juta oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor meletakkan harga RM6 juta kepada tonggak pertahanan skuad negara Syahmi Safari.

Dali berkata, pemain seharusnya perlu mempunyai sikap bertanggungjawab dengan gaji yang lumayan yang diberikan oleh persatuan.

“Jangan fikir gaji tinggi semata-mata…fikirkan juga kerja keras dan perkara yang perlu dilakukan oleh pemain untuk sentiasa memberikan sumbangan kepada pasukan setiap perlawanan.

“Perlu ada sikap malu dalam diri apabila menerima bayaran yang tinggi namun gagal memberikan khidmat yang baik kepada pasukan,” katanya.

Untuk rekod pada tahun 1972, Dali mencipta sejarah dalam landskap bola sepak negara apabila menjadi pemain pertama berhijrah ke luar negara selepas disunting oleh sebuah kelab profesional Liga Australia, Azzuri Australia (kini Perth Glory FC). – Bernama