Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan (KBS), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah menghubungi Majlis Sukan Negara dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubungan luahan atlet lontar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin.

Katanya, beliau mahu keputusan antara pihak terlibat dibuat secara muafakat dalam jawatankuasa yang bebas dari campur tangan politik.

“Sebaik sahaja mendengar luahan Muhammad Irfan, saya menghubungi pihak MSN dan KOM untuk penjelasan lanjut.

“Keputusan yang dibuat mestilah diadakan dalam suasana muafakat dan bebas dari sebarang campur tangan politik,” katanya dalam hantaran Twitternya, hari ini.

Beliau memberi respon itu kepada luahan Muhammad Irfan yang tidak berpuas hati dengan pembubaran Program Podium dan penamatan serta merta kontrak jurulatihnya.

Atlet itu juga mendakwa, beliau terpaksa menggunakan wang poket sendiri untuk membiayai kos penerbangan ke luar negara untuk menjalani latihan dan pada masa sama mempersoalkan apa misi dan visi KBS.

Menurut Syed Saddiq, beliau sedia berunding dengan pihak terlibat demi masa depan sukan negara.

“Kementerian saya akan tetap berunding dengan semua pihak menggunakan saluran yang betul untuk pastikan pandangan semua diambil kira,” katanya. – MalaysiaGazette