Hassan Rouhani. foto Agensi

LONDON – Iran bersedia untuk melancarkan satelit baharu dalam masa beberapa bulan selepas cubaannya pada minggu ini gagal, kata Presiden Hassan Rouhani.

Iran gagal untuk menghantar satelit bernama Payam ke orbit gagal pada hari Selasa lalu kerana kelajuan roketnya tidak mencukupi tahap ketiga.

Media memetik kenyataan Rouhani berkata, Iran telah “mencapai kejayaan besar dalam membina satelit dan melancarkannya. Ini bermakna Iran berada di landasan yang betul.

“Masalah yang berlaku adalah kecil, akan diselesaikan dalam beberapa bulan dan kami bersedia untuk pelancaran baru,” katanya.

Amerika Syarikat memberi amaran kepada Iran bulan ini dengan menentang pelancaran tiga roket yang mana didakwa melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kerana menggunakan teknologi peluru berpandu balistik.

Menteri Luar Perancis mengutuk pelancaran itu dan menggesa Iran untuk menghapuskan ujian peluru berpandu balistik yang dilihat sebagai potensi penggunaan senjata nuklear.

“Program balistik Iran adalah sumber kebimbangan bagi masyarakat antarabangsa dan Perancis,” kata jurucakap Kementerian Luar, Agnes von der Muhll dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, Kementerian Luar Tehran berkata, keupayaan satelit Iran tidak melanggar resolusi PBB atau sebarang konvensyen antarabangsa lain kerana mereka “tidak mempunyai sifat ketenteraan.”

“Republik Islam akan memilih jalan yang memberi kepentingan jangka panjang dan kepentingan negara dan tidak akan mengorbankan pembangunan saintifik negara untuk kebimbangan yang tidak berasas oleh negara asing,” kata Bahram Qasemi. – MalaysiaGazette