PUTRAJAYA – Seorang ustaz yang cacat penglihatan menarik nafas lega selepas Mahkamah Rayuan di sini hari ini membebaskannya daripada tuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap anak murid lelaki berumur 11 tahun, lima tahun lepas.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki yang mengetuai panel tiga hakim melepas dan membebaskan Mahamad Hafizul Sham Mahamad Hanafiah, 36, selepas membenarkan rayuan terakhirnya atas sabitan dan hukuman penjara lapan tahun dengan satu sebatan setelah didapati bersalah melakukan perbuatan itu.

“Keputusan kami adalah sebulat suara. Kami bersependapat bahawa rayuan ini mempunyai merit.

“Terdapat ‘serious misdirection’ oleh Hakim Mahkamah Sesyen. Justeru sabitan adalah tidak selamat. Rayuan dibenarkan, sabitan dan hukuman diketepikan dan digantikan dengan perintah lepas dan bebas,” kata Hakim Mohtarudin yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Rhodzariah Bujang dan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Selepas keputusan itu, Mahamad Hafizul Sham yang ditemani ahli keluarganya memberitahu media bahawa dia bersyukur atas keputusan hari ini yang memihak kepadanya dan mengucapkan terima kasih kepada peguam Ramkarpal Singh yang mewakilinya.

Mahamad Hafizul Sham yang belum berkahwin, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap anak muridnya di sebuah Pusat Tahfiz, di Pulau Pinang pada 12 tengahari, November 2014.

Pada 15 Disember 2016, Mahkamah Sesyen Pulau Pinang menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dengan tiga sebatan dan pada 16 Mac 2018, Mahkamah Tinggi mengekalkan hukuman penjara itu tetapi mengurangkan sebatan kepada satu.

Tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, Mahamad Hafizul Sham yang kini mengajar di sebuah sekolah agama merayu ke Mahkamah Rayuan.

Terdahulu Ramkarpal dalam hujahnya berkata, sabitan terhadap Mahamad Hafizul Sham adalah tidak selamat kerana Hakim Mahkamah Sesyen hanya bergantung kepada kenyataan yang dibuat mangsa dan saksi pendakwan lain yang mengikut undang-udang adalah tidak mencukupi.

“Hakim Mahkamah Sesyen telah menilai dan bergantung pada bukti mangsa terlalu banyak yang tidak konsisten. Oleh itu, sabitan itu tidak selamat,” katanya sambil menambah bukti oleh mangsa lebih kepada tindakan liwat, iaitu satu kesalahan yang berlainan daripada yang dinyatakan dalam pertuduhan.

Ramkarpal berkata, keterangan yang menyokong mesti berkaitan dengan pertuduhan itu.

Tambahan pula, beliau berkata, doktor yang telah memeriksa mangsa tidak dipanggil pihak pendakwa untuk menyokong kesnya.

“Pihak pendakwaan perlu memanggil doktor atau pakar semasa perbicaraan untuk menjelaskan laporan perubatan itu kerana bukti perubatan adalah berkaitan dengan kes,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Samihah Rhazali berhujah bahawa Hakim Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi telah membuat dapatan yang betul dalam mensabitkan perayu (Mahamad Hafizul Sham) terhadap pertuduhan itu.

Beliau berkata, untuk mengatakan bahawa Hakim Mahkamah Sesyen tidak mengambil kira kredibiliti mangsa adalah tidak tepat kerana perkara itu telah dipertimbangkan hakim dalam menjatuhkan hukuman terhadap perayu.

“Oleh kerana pihak pendakwaan tidak memanggil doktor memberi keterangan pada perbicaraan kes, ianya tidak boleh dijadikan alasan bahawa keterangan mangsa adalah tidak berkredibiliti (credible) dan tidak boleh dipercayai (reliable),” katanya. – Bernama