Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bercakap ketika sesi sidang media pada Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Rasmi Bank Pengatur Utama di Kementerian Kewangan, Presint 2, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 18 JANUARI 2019

PUTRAJAYA – Kerajaan tidak berpuas hati dengan permohonan maaf daripada Goldman Sachs semalam sebaliknya mahu bank pelaburan ternama global itu membayar semula wang sebanyak AS$7.5 bilion yang diperoleh hasil urusniaga dengan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, apa yang lebih penting kepada Malaysia adalah memperoleh semula wang tersebut.

Tambahnya, sekiranya Goldman Sachs membayar semula wang bernilai AS$7.5 bilion itu, kerajaan sudi mempertimbangkan untuk menarik semula saman yang telah difailkan kepada firma berkenaan.

“Permohonan maaf adalah perlu tetapi tidak mencukupi.Kami mahu mendapatkan semula wang sebanyak AS$7.5 bilion itu semula,” katanya semasa sidang media di sini hari ini.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Goldman Sachs, David Solomon meminta maaf kepada rakyat Malaysia kerana salah seorang pegawainya memainkan peranan utama di dalam skandal 1MDB.

“Sangat jelas, rakyat Malaysia telah ditipu oleh banyak pihak termasuk individu yang mempunyai jawatan tertinggi dalam kerajaan terdahulu.

“Tim Leissner pula merupakan salah seorang rakan kongsi kami di firma ini dan dengan pengakuannya kami memohon maaf kepada rakyat Malaysia di atas peranan yang telah dimainkan oleh Leissner,” katanya dalam satu sidang telefon untuk mengumumkan prestasi kewangan syarikat.

Bulan lepas, Malaysia telah memfailkan saman terhadap Goldman Sachs di atas peranannya sebagai taja jamin dan pengatur penjualan tiga bon milik 1MDB.- MalaysiaGazette