Datuk Farid Kamil
Farid Kamil

PETALING JAYA – Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini diberitahu pelakon dan pengarah filem terkenal Farid Kamil Zahari menurunkan tandatangan berbeza pada dua borang berkaitan ujian air kencingnya tahun lalu.

Petugas Am di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, Koperal Muhammad Iskandar Ali, 29, berkata, borang yang ditandatangani Farid Kamil, 38, ialah borang permintaan ujian pengesahan dadah dalam air kencing (UPD) dan borang akuan pemberi, sebelum dan selepas dia menjalani ujian air kencing di Bahagian Narkotik IPD Petaling Jaya pada 11 Januari tahun lalu.

“Saya telah mengisi butiran tertuduh pada borang-borang tersebut dan pegawai penyiasat Insp Faizal telah menyuruh tertuduh tandatangan.

“Setelah disemak, saya lihat tandatangan tertuduh pada kedua-dua borang itu berbeza,” katanya ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran, pada perbicaraan kes itu hari ini.

Muhammad Iskandar adalah saksi pendakwaan keempat yang ketika itu bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah IPD Petaling Jaya dan bertanggungjawab membawa serta mengiringi suami kepada pelakon popular Diana Danielle itu, melakukan ujian air kencing.

Kepada soalan Alia Sumayyah adakah Muhammad Iskandar bertanyakan tertuduh mengenai tandatangan yang berbeza itu, beliau menjawab: “tidak”.

Ketika pemeriksaan balas peguam Megat Syazlee Mokhtarom yang mewakili Farid Kamil, saksi itu tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa kedua-dua tandatangan itu berbeza adalah kerana bukan tertuduh yang menandatangani borang tersebut.

Menjelaskan kepada mahkamah ketika pemeriksaan semula Alia Sumayyah, Muhammad Iskandar berkata, kedua-dua tandatangan itu sememangnya ditulis oleh Farid Kamil kerana beliau sendiri melihat Farid Kamil menandatangani borang tersebut.

Pada 25 Januari tahun lepas, Farid Kamil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan telah menggunakan dadah berbahaya jenis tetra hydrocannabinol atau THC di Pejabat Narkotik Daerah Petaling Jaya, pada 4.30 petang, 11 Jan 2018, mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, atau kedua-duanya.

Perbicaraan di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham bersambung 31 Januari.

Terdahulu, Farid Kamil yang memakai baju-T lengan panjang dan bercermin mata hitam dilihat bersendirian masuk ke bilik bicara tanpa ditemani sesiapa.

Ketika prosiding ditangguhkan sementara, Farid Kamil yang kelihatan ceria sempat melayan permintaan jurugambar yang memintanya berjalan dan ‘berposing’ untuk merakamkan gambarnya. – Bernama