Kebakaran besar di kawasan saluran paip di Tlahuelilpan yang menyebabkan 71 orang maut. foto Agensi

TLAHUELILPAN, Mexico – Sekurang-kurangnya 71 orang terbunuh selepas saluran paip minyak yang dipecahkan oleh pencuri mengakibatkan letupan di tengah negara ini.

Kejadian itu merupakan insiden paling buruk dalam sejarah negara ini.

Pakar forensik mengutip mayat-mayat manusia yang hangus di kawasan letupan di bandar Talahuelilpan di negeri Hidalgo.

Seorang saksi menyifatkan tumpahan minyak itu umpama pesta apabila ratusan penduduk mengisi minyak dalam bekas, tetapi bertukar menjadi ngeri apabila letupan tiba-tiba berlaku.

Api menyambar pakaian mangsa-mangsa dan menyebabkan ramai yang maut dan luka parah.

Beberapa orang di tempat kejadian memberitahu Reuters negara itu mengalami kekurangan bekalan petrol selepas kerajaan Presiden Lopez Obrador melancarkan sekatan minyak bagi mengawal kerugian bahan api.

Untuk menghapuskan kecurian itu, Lopez Obrador pada akhir Disember lalu telah mengarahkan saluran paip ditutup hingga menyebabkan kekurangan bekalan bahan bakar di Mexico tengah, termasuk Hidalgo, yang mana lebih separuh daripada stesen minyak ditutup pada masa-masa tertentu.

Situasi itu menyebabkan penduduk meluru ke kawasan insiden untuk mendapatkan minyak secara percuma.

“Semua orang datang untuk mendapatkan sedikit petrol bagi kenderaan mereka selepas stesen minyak keputusan bekalan, ” kata seorang petani, Isaias Garcia, 50.

Gabenor Hidalgo, Omar Fayad berkata, seramai 71 maut dan 76 orang lagi cedera dalam insiden berkenaan ketika penduduk yang bergegas datang bersama tong minyak daripada saluran paip minyak.

Video yang tular di media sosial menunjukkan orang ramai mengisi minyak pada waktu siang dengan kehadiran pasukan bersenjata.

Ekoran itu tentera dipersoalkan mengapa gagal menangani tragedi tersebut.

Selepas kejadian itu, tentera telah dikerah menutup kawasan berkenaan.

Pihak berkuasa pula memberitahu, identiti mangsa akan dikenal pasti dengan melakukan ujian DNA dan menyenaraikan mangsa-mangsa yang telah dibawa ke hospital. – MalaysiaGazette