Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor, YB Haniza Mohamed Talha (tengah) diringi Ahli Majlis Jawatankuasa Penduduk Majlis Perbandaran Ampang zon 16 (JKP MPAJ), K.Thanabal (kanan) bercakap kepada media selepas dari program sesi diolag bersama penduduk di Dewan Komuniti Jalan Pandan 3, Pandan Jaya, Kuala Lumpur. foto MUHAMMAD ZULHAIRI, 20 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor akan menjadi pemantau kepada projek pembangunan semula empat kawasan penempatan penduduk di negeri itu sebagai langkah mempromosi dasar pembangunan semula perumahan-perumahan lama yang menjadi fokus kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, empat kawasan yang akan terlibat dengan projek pembangunan semula ialah kawasan Ampang Jaya, Petaling Jaya, Klang dan Shah Alam.

Menurutnya, menerusi projek tersebut unit-unit rumah kos rendah bercirikan flat yang mempunyai dua bilik dan satu bilik air akan digantikan dengan unit rumah tiga bilik dan dua bilik air.

“Kawasan-kawasan lama ini memang dah ada pemilik tapi rumah mereka tidak sesuai lagi.

“Kita dah kenal pasti dan mendapati sememangnya ada ciri-ciri yang perlu diganti dengan yang baru,” katanya kepada media selepas mengadakan pertemuan dan sesi dialog bersama penduduk Pandan Jaya di sini hari ini.

Mengulas lanjut Haniza berkata, lot-lot kediaman yang bakal disiapkan nanti akan diserahkan secara percuma kepada penghuni terlibat dan sudah ada pemaju yang bersedia untuk menjalankan projek itu.

Tanpa menjelaskan kos sebenar yang akan dibelanjakan bagi melaksanakan projek naik taraf kesemua kawasan tersebut Haniza berkata, pemaju sudah mendapat keuntungan daripada projek yang dibuat tanpa perlu mengutip bayaran jualan unit rumah ganti daripada penghuni-penghuni terlibat.

Bagaimanapun katanya, kerajaan akan memastikan penghuni-penghuni yang bakal menduduki kediaman baharu itu tidak dibebani dengan jumlah bayaran penyelenggaraan.

Haniza berkata, cabaran yang dihadapi pada masa ini ialah untuk mendapatkan persetujuan daripada kesemua pemilik unit kediaman terbabit kerana projek baharu pembangunan itu hanya boleh dilaksanakan sekiranya mendapat persetujuan seratus peratus daripada mereka.

“Pada masa ini kita telah menjalan “survey” ke atas 200 pemilik di kawasan Pandan Jaya ini dan ke semua mereka yang ditemui menunjukkan reaksi yang positif,” ujarnya.

Tambah beliau, sekiranya semua penghuni menyatakan komitmen dengan memberikan persetujuan agar kawasan mereka dibangunkan semula, projek perumahan itu boleh dimulakan tahun ini dengan sekurang-kurangnya mengambil masa dua tahun untuk disiapkan.

Untuk rekod, terdapat 1,900 unit rumah flat di Pandan Jaya yang kini sudah berusia 30 tahun.

Rata-rata mereka yang tinggal di flat tersebut merupakan penyewa dan ada yang disewakan kepada warga asing.

Sesi dialog yang diadakan di Dewan Komuniti Pandan Jaya 3, di sini hanya dihadiri kira-kira 50 orang tetamu .

MalaysiaGazette difahamkan, sebahagian daripada peserta yang hadir pada sesi dialog itu bukanlah penghuni flat tersebut sebaliknya merupakan orang luar. – MalaysiaGazette