Satar Abdullah
Satar Abdullah

KUALA LUMPUR – Penghuni-penghuni flat Pandan Jaya di sini “ragu-ragu” dengan penjelasan berhubung pemberian rumah percuma menerusi projek pembangunan semula kawasan perumahan di Selangor.

Rata-rata pemilik rumah flat yang ditemui MalaysiaGazette melahirkan kehairanan tentang bagaimana pemaju boleh menyediakan rumah kepada 1,900 pemilik lot kediaman di kawasan itu tanpa mengenakan sebarang bayaran.

Malah, ada juga yang mempertikaikan sekiranya projek tersebut berjalan di manakah penghuni akan ditempatkan sementara menunggu projek berkenaan siap.

Seorang pemilik flat Satar Abdullah, 55, berkata, dia tidaklah begitu teruja mendengar penjelasan yang diberikan oleh Exco Kerajaan Negeri Selangor, Haniza Talha pada sesi dialog bersama penduduk Pandan Jaya hari ini.

Katanya, meskipun mendengar perkhabaran baik berhubung perkara itu, tetapi baginya ada kerisauan ekoran projek menaik taraf tersebut melibatkan kediaman yang didiami keluarganya ketika ini.

“Di mana kami nak tinggal kalau projek ini berjalan nanti. Adakah pemaju akan menyediakan tempat kediaman sementara atau bagaimana?

“Bagi orang yang mempunyai wang mereka mungkin boleh menyewa rumah di mana-mana, tetapi bagi orang seperti saya yang bekerja sendiri ini mana nak dapat pendapatan kalau rumah sewa itu mahal bayaran sewanya,” katanya yang telah membeli flat itu dengan harga RM25,000 sejak 30 tahun lalu.

MGF20012019_SESI DIALOG BERSAMA EXCO PERUMAHAN NEGERI SELANGOR10
Norzaini Muhammad,

Sementara itu, bagi Norzaini Muhamad, 53, pula, pembangunan semula yang hendak diwujudkan oleh kerajaan negeri di kawasan mereka sememangnya suatu langkah yang sangat baik dan harus dipuji.

Namun katanya, pelaksanaan itu sewajarnya tidak akan membebankan penghuni yang terlibat lebih-lebih lagi dirinya merupakan seorang ibu tunggal.

Norzaini berkata, dia agak “kurang yakin” dengan penjelasan Haniza bahawa rumah flat baharu yang akan dibina dengan setiap lot mempunyai tiga bilik dan dua bilik air itu akan diberi secara percuma tanpa sebarang bayaran.

“Saya rasa nanti mesti ada benda-benda lain yang kena dibayar. Tak mungkinlah pemaju boleh bagi rumah ni percuma macam tu saja.

“Saya ini ibu tunggal yang berniaga makanan secara kecil-kecilan. Macam mana saya nak bayar kalau ada bayaran-bayaran tertentu. Rumah yang saya diami ini pun dah lama arwah suami langsaikan,” ujarnya.

Dalam pertemuan dengan penghuni flat Pandan Jaya hari ini, Haniza yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Lembah Jaya menjelaskan sebanyak 40 buah blok dengan 1,900 unit kediaman akan terlibat dengan projek pembangunan semula perumahan-perumahan lama.

Penempatan penduduk itu akan dirobohkan untuk digantikan dengan yang baharu dan lebih selesa.

MGF20012019_SESI DIALOG BERSAMA EXCO PERUMAHAN NEGERI SELANGOR07
Antara penduduk tempatan yang hadir menyertai Program Sesi Dialog Bersama Exco Perumahan Negeri Selangor di Dewan Komuniti Jalan Pandan 3, Pandan Jaya, Kuala Lumpur. foto MUHAMMAD ZULHAIRI, 20 JANUARI 2019

Pada masa ini, pemaju perumahan sedang mendapatkan maklum balas daripada pemilik rumah flat terbabit bagi mendapatkan persetujuan 100 peratus sebelum projek berkenaan boleh dimulakan.

Projek tersebut dijangka memakan masa selama dua tahun untuk disiapkan dan kerajaan negeri hanya akan memantau pelaksanaannya tanpa mengeluarkan sebarang perbelanjaan pembangunan. – MalaysiaGazette

Kerajaan Selangor jadi pemantau projek perumahan percuma