Khairy Jamaluddin Abu Bakar
Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Mendedahkan hutang Pahang, Lim Guan Eng diselar oleh Khairy Jamaluddin yang dianggapnya sebagai bongkak.

Khairy yang juga Anggota Parlimen Rembau mengingatkan Menteri Kewangan itu bahawa Barisan Nasional (BN) semasa menjadi Kerajaan Persekutuan membantu Pulau Pinang menyelesaikan hutang sebanyak RM655 juta.

Ketika itu Guan Eng merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang.

“Dan jangan lupa zaman @guanenglim jadi Ketua Menteri Pulau Pinang, kerajaan pusat BN juga yang bantu selesaikan hutang RM655 juta yang Pulau Pinang perlu bayar kerajaan pusat. Jadi tak perlu lah bongkak sangat sekarang dengan kerajaan Pahang,” tulisnya dalam Twitter.

Menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands minggu depan, Guan Eng hari ini mendedahkan kedudukan kewangan Negeri Pahang.

Dalam satu kenyataan, Menteri Kewangan itu memberitahu Pahang mempunyai defisit terkumpul sebanyak RM228.37 juta.

Katanya, keadaan defisit itu mencerminkan pengurusan kewangan yang tidak bertanggungjawab dan tidak berhemah.

Akibat pengurusan kewangan yang lemah itu, Guan Eng berkata, Pahang tidak mampu untuk memenuhi obligasi hutangnya kepada Kerajaan Persekutuan.

Sebelum ini, Menteri Kewangan itu didakwa menggesa pengundi di Cameron Highlands memilih Pakatan Harapan jika mahu merasai pembangunan.

Beliau dalam masa yang sama berkata, Pahang berdepan dengan hutang paling tinggi.

Kemudian Bersih 2.0 menyifatkan kenyataan itu umpama diskriminasi terhadap kawasan yang di perintah pihak pembangkang. -MalaysiaGazette