KUALA LUMPUR – Seorang warga emas, Siti Patonah Masuhoot mendedahkan kisah sebenar Selempang Merah yang diketuai oleh Kiyai Salleh di Johor suatu waktu dahulu.
Bekas guru berusia 78 tahun berkata, semasa proses British mengambilalih semula Malaya daripada Jepun, kehadiran tentera komunis atau Bintang Tiga cukup menakutkan penduduk Melayu ketika itu.
“Orang Melayu yang sangat kukuh semangat kebangsaannya, tetap mahu memelihara keutuhan negaranya dan agama Islam.
“Fahaman komunis tetap menunjukkan unsur-unsur yang mencabar prinsip pegangan orang-orang Melayu.
“Daripada sudut yang lain pula, orang-orang Melayu sentiasa menganggap bahawa Malaya ketika itu bukanlah negara bagi etnik Cina kerana kumpulan komunis ini didominasikan oleh orang-orang Cina,” katanya menerusi sebuah tulisan yang menjadi tular di laman sosial.
Menurut Siti Patonah, orang-orang Cina di Semenanjung telah mengikut pergolakan yang berlaku di negara China selepas diduduki Jepun ketika dalam perjalanan hendak menduduki Asia Tenggara.
Sebagaimana orang-orang China di negaranya menentang pendudukan Jepun, orang-orang Cina di Malaya juga bersedia menentang Jepun, katanya.
Jelas beliau, tentera Jepun memandang rakyat China sebagai musuhnya apabila mengambil sikap bahawa orang Cina di Malaya juga adalah sama.
Sebaliknya, kata Siti Patonah lagi bagi orang-orang Melayu, Jepun dianggap sebagai kawan yang boleh menguntungkan mereka.
“Tanggapan yang baik itu wujud kerana orang Jepun yang berniaga di Malaya sebelum perang, mempunyai sikap yang baik dan menjual barang-barang dagangan mereka dengan harga yang murah. Orang-orang Melayu memang bersedia menyambut kedatangan Jepun,” ujarnya.
Menceritakan lajut mengenai perkara itu, Siti Patonah menjelaskan, pada penghujung tahun 1945, terdapat khabar-khabar angin mengatakan orang-orang Cina hendak membunuh ulama dan orang alim Melayu.
“Sebab itu setiap malam selepas maghrib ramai orang-orang alim bersembunyi di pondok-pondok kebun. Keadaan seperti ini berlaku selama tiga bulan.
“Tiga bulan lamanya komunis, mencari orang-orang alim. Ada juga orang-orang alim ini ditangkap, diisi dalam guni di bawa ke dalam hutan hilang ghaib entah ke mana.
“Tindakan orang-orang Cina komunis membunuh orang-orang Melayu yang alim dan handal-handal dengan tujuan hendak memudahkan mereka bergerak tanpa ada halangan, yang tinggal ialah yang tidak berpelajaran.” tambahnya.
Justeru katanya, wujud satu gerakan yang dipanggil Selempang Merah diketuai Salleh Keling atau lebih dikenali ‘Penghulu Salleh’ dan Kiyai Salleh untuk menentang komunis ekoran kebolehannya yang luar biasa.
Kiyai Salleh didakwa berkemampuan membengkokkan besi dengan dada dan kebolehan-kebolehan lain pada dirinya.
“Dengan hati yang tulus ikhlas, Kiyai Salleh telah menerima tawaran yang diberikan kepadanya hanya dengan berkata “Insya Allah” sahaja.
“Baginya inilah peluang keemasan untuk mencuba dan menggunakan segala ilmu kebatinan yang telah dipelajarinya dan dengan semangat yang membara dia sanggup memikul tanggungjawab yang begitu besar demi kepentingan bangsa dan ugama,” ujarnya.
Katanya lagi, berlaku beberapa siri peperangan selepas itu akibat serangan gerakan Selempang Merah hingga selepas itu berlakunya rundingan damai oleh ketua-ketua komunis Bintang Tiga dan ketua orang Cina di Bandar Penggaram Batu Pahat .
“Panglima Kiyai Salleh dan ketua bintang tiga bersama-sama Penghulu dan kaum Cina telah berjaya bersepakat menghentikan peperangan sengit itu,” tambahnya. – MalaysiaGazette