Azhar Azizan Harun
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun (tengah) bersama setiausahanya, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar (dua kiri) hadir bagi meninjau proses pengundian awal Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Balai Polis Brinchang, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 22 JANUARI 2019.

BRINCHANG – Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun menegaskan, beliau boleh ditangkap oleh pihak polis dan diheret ke mahkamah sekiranya mengambil tindakan di luar bidang kuasanya.

Azhar berkata, beliau tidak akan tunduk kepada tuntutan mana-mana pihak agar mengambil tindakan termasuk menyiasat dan menangkap mana-mana pihak yang melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya.

“Kalau saya buat perkara yang tidak mengikut undang-undang, atau tidak ada kuasa di bawah undang-undang sekarang, maka perbuatan saya tidak sah (haram) maka saya boleh ditangkap oleh pihak polis.

“Apakah rakyat mahu saya buat perkara yang menyalahi undang-undang. Bukan tiada apa yang boleh dibuat, mereka boleh buat laporan dan siasatan akan dijalankan secepat mungkin.

“Sudah tentu kita kena ikut proses dia, pihak polis kena siasat, pihak SPRM kena siasat, kena lihat sama ada perkara itu ada kes atau tidak, fakta betul atau tidak, ada penerangan

“Bukan senang kita nak heret orang ke mahkamah, itu sistem pengadilan kita bahkan di seluruh negara Komanwel, sistem keadilan jenayah kita memang macam itu, jadi kita kena faham,” katanya pada sidang media di pusat mengundi awal di Balai Polis Brinchang di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superitenden Polis Ashari Abu Samah mengatakan bahawa pihaknya menerima 17 laporan berhubung salah laku di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya sepanjang 10 hari kempen PRK Cameron Highlands.

Ashari Abu Samah berkata, kesemua laporan itu melibatkan empat isu utama iaitu kesalahan pemberian wang, tindakan merosakan khemah dan penyalahgunaan jentera kerajaan manakala setakat ini hanya satu kertas siasatan dibuka mengenai penularan kertas undi awal di media sosial.

Azhar juga menafikan SPR lambat mengambil tindakan terhadap mana-mana calon atau jentera parti yang melanggari undang-undang sepanjang 11 hari berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

“Tindakan yang hanya oleh kita ambil sama ada cepat atau lambat, dia kena buat laporan.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat sahih (penyalahgunaan) kena buat laporan dan biarkan pihak berkuasa menyiasat dan membuat kerja mereka.

“Undang-undang wujud, apabila kita buat laporan, maka polis akan menyiasat

“Kalau laporan dibuat di SPRM, maka SPRM akan menyiasat, undang-undang itu ada, itu proses kita sekarang, kita kena ikut proses itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette