JDT
JDT

KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak sabar menunggu Liga Malaysia 2019 berlangsung kerana teruja mahu melihat tenaga yang akan ditunjukkan oleh pemain Johor Darul Ta’zim (JDT).

Menerusi Facebook Johor Southern Tigers, Tunku Ismail berkata, perkara sama turut dirasai oleh pemain dan jurulatih skuad berkenaan.

“Saya perlu memberitahu anda bahawa selama bertahun-tahun saya melihat persiapan pramusim, ini adalah tahun yang paling memuaskan berdasarkan apa yang saya lihat.

“Sekiranya kita boleh membawa pulang sikap serta mentaliti ini dan mempamerkan 60 peratus atau 70 peratus sama seperti ini sepanjang musim, saya percaya kita akan mempunyai musim yang baik pada tahun 2019,” katanya.

Menurut Tunku Ismail lagi, beliau telah mengharungi banyak pramusim sebelum ini dan ia merupakan sesuatu yang paling mustahak kerana akan memberikan petunjuk bagaimana JDT mengharungi musim itu.

Liga Malaysia 2019 akan membuka tirai pada 1 Februari, namun kempen JDT hanya akan bermula pada 2 Februari apabila menentang Perak dalam perlawanan Sumbangsih. – MalaysiaGazette