Ismail Sabri Yaakob
Pemangku Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada sidang media mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih sambil diiringi Ustaz Sallehen Mukhyi (duduk, kiri) di Bangunan UMNO Selangor, Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 22 JANUARI 2019

SHAH ALAM – UMNO Selangor telah mencadangkan enam nama kepada ibupejabat parti untuk diteliti dan dipilih sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada 2 Mac ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, enam nama itu dipilih dalam kalangan bahagian, Pergerakan Wanita, Pemuda dan golongan profesional.

“Hari ini UMNO negeri bersama Pas Selangor telah mengadakan mesyuarat khas membincangkan gerak kerja kita untuk menghadapi PRK DUN Semenyih.

“Dalam mesyuarat ini, kita cadangan enam nama kepada ibupejabat parti untuk dilihat.

“Pemilihan ini bukan berdasarkan jawatan dalam UMNO Bahagian, tapi berdasarkan yang ada potensi besar mereka disenangi dan dipilih rakyat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Perhubungan UMNO dan Pas Selangor di Bangunan UMNO Negeri di sini, hari ini.

Turut hadir, Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi dan barisan kepimpinan Dewan Muslimat serta Dewan Pemuda Pas negeri dan Kawasan Hulu Langat.

PRK DUN Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor akibat serangan jantung pada 11 Januari lalu.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Mac hari mengundi dan 16 Februari ini penamaan calon.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Bakhtiar mengalahkan calon BN, Datuk Johan Abdul Aziz dengan majoriti 8,964 undi.

Menurut Ismail Sabri, mesyuarat itu juga UMNO negeri merakamkan ucapan terima kasih kepada Pas Selangor kerana membuat keputusan untuk memberi laluan kepada UMNO bertanding di DUN Semenyih.

Katanya, Pas negeri bersama semua sayap dan jentera partinya akan membantu calon Barisan Nasional (BN) dengan lebih erat lagi.

“Saya dah bincang dengan Pesuruhjaya Pas negeri (Sallehen). Kita akan tengok secara terperinci apa bentuk kerjasama yang kita akan laksanakan. Tentunya ia berbeza dengan kerjasama dalam dua PRK sebelum ini.

“Kerjasama untuk PRK Semenyih ini lebih menyeluruh bermula dari sekarang sehingga pada hari mengundi.

“Antaranya juga ialah kita menubuhkan jawatankuasa bersama Pas dan UMNO untuk menyelaraskan segala gerak kerja kempen nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, pihaknya akan melancarkan jentera PRK bersama UMNO dan Pas di peringkat pusat, negeri dan bahagian. – MalaysiaGazette