VARANASI, Uttar Pradesh – Permasalahan berkaitan kenaikan caj visa ke India oleh rata-rata pengunjung dunia khasnya diaspora India, selain daripada isu pasport akan diselesaikan segera.

Begitu janji Perdana Menteri, Narenda Modi kepada semua warga India bukan pemastautin (NRI) berikutan keluh kesah mereka berhubung isu ini untuk sekian lama.

Kenyataan itu juga mendapat tepukan gemuruh daripada sekurang-kurangnya lebih 4,000 diaspora India daripada 85 buah negara.

Malah, rakyat Malaysia dalam kalangan masyarakat India sendiri begitu terkesan dengan permasalahan tersebut apatah lagi baru-baru ini kerajaan bertindak menaikkan caj visa daripada RM180 kepada RM470 untuk tempoh setahun.

Jelas Modi ketika bercakap pada majlis perasmian persidangan Pravasi Bhatiya Divas ke-15 di Varanasi itu, beliau sebenarnya amat prihatin berhubung isu pasport dan visa dihadapi oleh rata-rata NRI seluruh dunia.

Katanya, ketika ini kerajaan India sedang bertungkus-lumus menyelesaikan masalah itu melalui sebuah projek yang dipanggil ‘Projek Sewa Pasport’ melalui konsulat dan kedutaan seluruh dunia.

“Kami ketika ini sudah mula bekerja ke arah menyelesaikan isu seperti visa dan pasport. Saya tahu sudah ada banyak aduan berhubung perkara ini.

“Kita sebenarnya sedang dalam satu proses di mana perkara-perkara ‘norma’ yang sebelum ini di amalkan oleh kerajaan berhubung isu ini akan dilonggarkan peraturannya.

“Ketika ini kita sudah mula bekerjasama dengan semua kedutaan serta konsulat seluruh dunia, kita sedang dalam satu proses bagi menyediakan perkhidmatan setempat berkaitan pasport berasaskan cip pada masa hadapan.

“Pastinya isu ini akan segera diselesaikan apatah lagi kami sentiasa mahu warga NRI untuk berterusan mengunjungi India setiap waktu. Anda semua adalah ‘Duta Jenama India’ walau di mana sahaja anda berada.

“Anda semua adalah simbol tentang apa sebenarnya kebolehan serta kemampuan India sebenarnya, anda-anda sekelian. Ramai dalam kalangan yang berada di sini adalah antara pemimpin serta ketua di negara anda, sesuatu yang boleh dibanggakan. Itu sebenarnya kebolehan kita,” katanya.

DSC_1869Isu kenaikan mendadak visa ke India mendapat rintihan serta keluhan daripada rata-rata rakyat Malaysia sejak beberapa bulan lalu sehingga menyebabkan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran campur tangan dan cuba membantu.

Beliau pernah mendedahkan India sedang menimbang untuk memberi kemudahan 14 hari tanpa visa untuk sekali masuk kepada rakyat Malaysia yang ingin berkunjung ke negara ini.

Kadar eVisa India telah dinaikkan daripada RM200 kepada RM320 bagi tempoh empat bulan manakala kadar visa di kaunter ialah RM462.56 (tidak termasuk caj perkhidmatan) untuk tempoh setahun.

Malah, dalam persidangan PBD yang ke-15 ini juga, hampir rata-rata diaspora bukan sahaja Malaysia, tetapi negara-negara lain turut melahirkan rasa tidak berpuas hati dan mahu India mengkaji semula sistem dan proseder ini secepat mungkin. –MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan