KLANG – Polis menahan seorang bekas banduan yang menyamar sebagai pegawai kanan polis di kawasan Kampung Delek Kanan di sini, kira-kira 1.30 petang pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Shamsul Amar Ramli berkata, lelaki warga tempatan yang baru dua bulan dibebaskan dari penjara itu juga dipercayai terlibat dalam kes meliwat seorang kanak-kanak lelaki berusia 14 tahun.

“Suspek berusia 42 tahun itu menyewa sebuah homestay di kampung berkenaan untuk membina hubungan baik dengan ketua kampung serta penduduk kampung agar perbuatannya tidak terbongkar.

“Suspek dipercayai menyamar sebagai pegawai kanan polis dari Bukit Aman yang menawarkan bantuan kepada seorang wanita tempatan untuk melepaskan suaminya warga Indonesia yang ditahan pihak Imigresen,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di sini, hari ini.

Shamsul Amar berkata, perbuatan suspek terbongkar pada Rabu lalu, apabila meminta wang RM5,000 daripada wanita berkenaan sebagai jaminan untuk melepaskan suaminya serta memadam rekod cap jari. – Bernama