Sebahagian penduduk Orang Asli yang hadir pada program Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Sungai Koyan sempena kempen Pilihan Raya Kecil P.078 Cameron Highlands di Dataran Sungai Koyan 1, Kuala Lipis, Pahang. foto AFFAN FAUZI, 25 JANUARI 2019.

RAUB – Setiausaha DAP, Lim Guan Eng memuji tindakan berani 12 pengundi dalam kalangan Orang Asli di Parlimen Cameron Highlands yang tampil ke mahkamah membongkar amalan rasuah oleh wakil rakyat terdahulu.

Menteri Kewangan itu berkata, tindakan itu sekaligus membersihkan nama dan maruah komuniti itu yang tercalar dengan wang sogokan oleh Naib Presiden MIC, Datuk C. Sivarraajh untuk menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lalu.

“PRK kali ini bersejarah kerana kali pertama pilihan raya diadakan disebabkan amalan rasuah oleh wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

“Pada PRU-14 kemenangan dia (Sivarraajh) dibatalkan dan dianggap tidak sah oleh Mahkamah Khas Pilihan Raya dan PRK diadakan semula.

“Ada yang cakap Orang Asli disogok dan 12 orang wira Orang Asli berani tampil ke mahkamah untuk bersihkan nama komuniti itu sekaligus membuktikan mereka tidak boleh dibeli,” katanya di hadapan lebih 1,000 pengundi Orang Asli di majlis Orang Asli bersama Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad di Dataran Felda Sungai Koyan hari ini.

Sehubungan itu, Guan Eng menyeru pengundi Orang Asli di DUN Jelai yang ‘dahaga’ perubahan supaya beralih kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Saya hendak beritahu anda semua bahawa kerajaan BN tidak lagi memerintah, mereka sudah ditendang keluar selepas diberi peluang 61 tahun dan kini PH membentuk kerajaan baharu.

“Kita nak membangunkan anda semua dan sokonglah PH supaya pembangunan sepanjang masa dilaksanakan.

“Berilah peluang sekali kali ini untuk kami berkhidmat, kalau tidak berpuas hati anda boleh tendang keluar kami pada PRU akan datang,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, kerajaan negeri Pahang milik BN tidak mampu membawa perubahan yang diharapkan semua kaum di parlimen itu dengan kuasa yang terhad.

“Belanjawan mereka sehingga hari ini adalah defisit yang tertinggi di negara ini dan hutang negeri keliling pinggang yang pasti tidak dapat melakukan perubahan.

“Mari kita memastikan kemenangan PH esok untuk pembangunan yang bersih bebas dan adil untuk semua tetapi jangan silap memilih BN, kalau BN menang esok bermakna Najib yang menang,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette