Kerajaan Kedah akan membuat keputusan sama ada mengekalkan atau menaikkan kadar tarif air di negeri ini pada awal tahun depan, kata Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.
Tiada keperluan untuk menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan wujudnya plot untuk menyingkirkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, melalui undi tidak percaya di Parlimen.

YAN – Kerajaan Kedah akan membuat keputusan sama ada mengekalkan atau menaikkan kadar tarif air di negeri ini pada awal tahun depan, kata Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Beliau berkata ketika ini perkara itu sedang diperhalusi di peringkat kerajaan negeri dan telah dibincangkan dalam mesyuarat exco kerajaan Kedah sebelum ini, namun belum ada keputusan dibuat mengenainya.

“Sebelum naikkan kadar tarif, kita mahu pastikan dua perkara…hendak pastikan rakyat di negeri ini sentiasa berupaya membayar kadar air tersebut selain mahu pastikan perkhidmatan bekalan air itu sendiri perlu ditambah baik.

“Kita perlukan jaminan daripada kerajaan pusat supaya tiada sebarang masalah berlaku dan jaminan itu sangat diperlukan sebelum kita (kerajaan negeri) boleh cadang apa-apa perubahan pada kadar tersebut,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Mukhriz yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merasmikan Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, di sini.

Mukhriz berkata walaupun cadangan untuk menyeragamkan kadar tarif air seluruh negara itu dibuat oleh Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, ada beberapa perkara perlu dibangkitkan kerajaan negeri untuk dipertimbangkan kementerian itu.

“Kedah ini ada situasi berbeza kalau hendak bandingkan dengan negeri lain, kita tidak boleh sewenang-wenangnya buat perubahan tanpa timbal balas yang boleh menguntungkan kita.

“Selain itu, tempoh yang lama diperlukan untuk perhalusi perkara tersebut kerana selain akaun domestik, ia turut melibatkan akaun industri. Pelabur dalam industri juga membuat rungutan bahawa mereka perlukan masa kalau kita hendak buat perubahan pada kadar tarif air,” katanya.

Menurut beliau, sekiranya perubahan kadar tarif air dibuat secara mendadak, pihak industri mungkin tidak mempunyai bajet yang mencukupi untuk membayar kadar baharu itu.

Sebelum ini, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A Xavier Jayakumar berkata kadar tarif air mungkin dinaikkan secara berperingkat tahun ini, selaras dengan usaha kerajaan untuk menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air di negara ini.

Beliau berkata kenaikan tarif sumber asli tersebut perlu dilaksanakan bagi menjaga kepentingan pengguna untuk mendapatkan air berkualiti serta menjamin industri tersebut dari sudut perkhidmatan.

— BERNAMA