Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bercakap pada Majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia Ke 37 Tahun 2019 di Kompleks Kastam WPKL, Kelana Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 26 JANUARI 2019

KELANA JAYA – Barisan Nasional (BN) disifatkan menegakkan benang yang basah apabila mendakwa hutang kerajaan negeri tersebut hanya berjumlah RM760 juta sehingga 31 Disember tahun lalu.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, ini kerana berdasarkan angka yang dikeluarkan oleh kementeriannya dan disahkan oleh Jabatan Ketua Audit Negara, Pahang mencatat hutang sebanyak RM2.8 bilion sejak tahun 2014, iaitu ketika BN masih Kerajaan Persekutuan.

“Yang saya sebut ialah bahawa jumlah hutang Pahang telah menjadi yang paling tinggi sejak 2014, ini bukan berlaku tahun ini atau tahun 2018

“Sebelum ini pun telah melonjak, ini semua berlaku zaman kerajaan lama.

“Adalah wajar, waras pihak kerajaan negeri Pahang akui bahawa mereka memang ada hutang RM3.2 bilion dan bila saya sebut angka-angka sejak 2018,

“Sejak 2014 sudah mencecah RM2801 juta jadi RM760 juta saya pun tidak tahu mana datang. Tapi sekarang sudah sampai RM3.2 bilion,” katanya.

Terdahulu bekas Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob menegaskan hutang Kerajaan Negeri Pahang sebenarnya tidak melebihi RM700 juta ketika beliau menerajuinya sebelum ini, sebaliknya jumlah itu melonjak apabila kerajaan negeri terpaksa menanggung kos tinggi yang sepatutnya menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan dalam perbelanjaan bekalan air, sukan dan bencana.

Guan Eng yang menyelar Adnan kemudiannya berkata, Pahang sepatutnya menyalahkan BN dan bukan Pakatan Harapan kerana gagal menyelesaikan hutang kerajaan negeri itu.

“Kenapa kerajaan lama sungguhpun parti yang sama (BN) tidak selesaikan?

“Masa itu tidak persalahkan Kerajaan Persekutuan sekarang pula nak persalahkan kerajaan baru.

“Sekarang baru nak pindahkan tanggungjawab ini pada Kerajaan Persekutuan, saya rasa ini memang tak patut.

“Sekiranya mereka masih mengaku berhutang RM760 juta saya rasa ini menunjukkan mereka mahu menegakkan benang yang basah,” tambah beliau.

Sebelum ini, Guan Eng mendedahkan hutang Kerajaan Negeri Pahang adalah yang paling tinggi apabila mencecah RM2.8 bilion sejak 2014, dan bukan RM760 juta seperti yang dinyatakan sebelum ini.- MalaysiaGazette