Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata, beliau mencintai tugas yang ada sekarang dan tidak bercadang untuk kembali sebagai pemimpin pusat PKR.
Nurul Izzah Anwar
BUKIT MERTAJAM – Semua keputusan berhubung pelantikan pemangku Pengerusi PKR Pulau Pinang yang baharu dibuat berdasarkan perlembagaan parti, menurut Anggota Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar.

“(Hanya) Ibu Pejabat Parti PKR yang boleh mengesahkan (isu pelantikan pemangku pengerusi PKR Pulau Pinang) kerana semua adalah mengikut garis panduan perlembagaan parti dan boleh rujuk kepada mereka,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan bekas pengerusi PKR Pulau Pinang yang juga Anggota Parlimen Nibong Tebal Datuk Mansor Othman yang menyifatkan cara pelantikan itu sebagai suatu tindakan yang tidak betul.

Nurul Izzah bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu dan menyatakan hanya ingin memberi fokus kepada hal ehwal kerja terutamanya di Permatang Pauh.

Pada 13 Jan lepas, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik dilantik sebagai pemangku Pengerusi PKR Pulau Pinang yang baharu menggantikan Nurul Izzah yang mengumumkan peletakan jawatannya Disember lepas.

Pelantikan Muhammad Bakhtiar, yang juga Anggota Parlimen Balik Pulau, dibuat pada mesyuarat tertutup Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Pulau Pinang yang dipengerusikan oleh Nurul Izzah di Yayasan Aman, di sini.

Pada 17 Dis lepas, Nurul Izzah mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Naib Presiden PKR selain melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang, yang dilantik.

Nurul Izzah, yang digelar sebagai ‘Puteri Reformasi’ sejak permulaan era gerakan ‘Reformasi’ bagaimanapun berkata beliau akan kekal sebagai anggota biasa PKR dan Anggota Parlimen Permatang Pauh sehingga tamat penggal.

Terdahulu, Nurul Izzah merasmikan Program Bantuan Makanan dan Persekolahan MyKasih ‘Love My School’ serta Program Kitar Semula ‘Recycle For Life’ di Sekolah Kebangsaan (SK) Mengkuang, di sini.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi MyKasih, Jeffrey Perera yang turut hadir pada program itu berkata 300 orang murid dari SK Mengkuang dan SK Guar Perahu berpeluang menggunakan kad pintar MyKasih yang dilancarkan buat pertama kali.

Beliau berkata pelajar yang terpilih berasal daripada keluarga berpendapatan bawah RM1,500 akan mendapat bantuan kewangan tanpa tunai sebanyak RM140 sebulan yang dikreditkan dalam kad pintar berkenan bagi membolehkan mereka membeli makanan dan minuman.

Selain itu, katanya kad pintar MyKasih tersebut turut boleh digunakan untuk program kitar semula yang memberi ganjaran wang tunai yang akan dikreditkan kepada pemegang kad pintar itu.

— BERNAMA