Ahli Parlimen Cameron Highlands yang baharu, Ramli Mohd Noor bersama Pemangku Presiden BN, Datuk Seri Mohamad Hassan meraikan kemenangan bersama sebahagian penyokong selepas diumumkan sebagai pemenang pada Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 26 JANUARI 2019.

TANAH RATA – Agenda penyatuan ummah antara UMNO dan Pas antara strategi berkesan untuk memenangkan calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd Nor dengan majoriti besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands hari ini.

Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerjasama dua parti Melayu Islam itu jelas dapat dilihat apabila peti undi yang sebelum ini dimenangi Pas kini beralih menyokong BN.

“Agenda penyatuan ummah dilakukan selama telah membuahkan hasil.

“Kerjasama dan bantuan daripada Pas terutamanya amat jelas sekali dalam PRK ini.

“Seperti yang kita jangkakan bahawa pengundi-pengundi yang memberikan undi kepada Pas pada PRU14 lalu telahpun memberi kepercayaan kepada BN.

“Ini jelas dibuktikan dengan peti-peti undi yang dulunya dimenangi oleh pihak Pas tetapi di atas kerjasama dua parti BN khususnya UMNO dan Pas dapat membuahkan satu hasil,” katanya pada sidang media selepas pengumuman PRK Cameron Highlands di Dewan Gemilang, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah.

Terdahulu Pengurus Pilihan Raya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ishak Md Nafis mengumumkan bahawa Ramli memenangi PRK Cameron Highland dengan majoriti 3,238 undi.

Ramli, memperoleh 12,038 undi menewaskan tiga calon lain termasuk Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran, 59, yang memperoleh 8,800 undi.

Sementara itu calon bebas Sallehuddin Ab Talib yang menggunakan simbol buku memperoleh 314 undi dan Wong Seng Yee mendapat 276 undi dengan simbol cangkul.
Mohamad juga berkata, strategi yang digunakan kali ini akan digunakan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Mac ini.

“Kita akan teruskan strategi dan kerjasama ini untuk kita pastikan supaya agenda penyatuan ummah di negara ini akan dapat diteruskan.

“Kita lihat kali ini strategi berkempen amat lain sekali iaitu kita meletakkan jentera kita duduk sama dengan pengundi-pengundi, ada yang duduk selama 10 hari di tempat kawasan yang dijaga.

“Ini membuahkan satu hasil yang amat baik dan ini akan kita teruskan di PRK Semenyih dan juga di tempat-tempat lain,” katanya.

Katanya lagi, beliau akan memastikan Ahli Parlimen Cameron Highlands yang baharu ini meneruskan agenda BN Untuk memberi khidmat kepada masyarakat dan pengundi setempat.

“Saya yakin dan percaya orang di Cameron Highlands ini akan mendapat khidmat yang baik.

“Malah Datuk Seri Wan Rosdy sendiri merupakan Pengerusi BN Cameron Highlands, banyak isu yang kita kumpul semasa kempen dan kalau boleh kita selesaikan dengan segera,” katanya lagi. – MalaysiaGazette