Reaksi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (kanan) sambil diperhatikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali (kiri) ketika melihat dan membaca buku Rancangan Malaysia ke 11 (RMK11) selepas membentangkannya di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 18 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – “Tun Dr Mahathir adalah pilihan terbaik untuk memimpin negara,” demikan menurut Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu berkata demikian merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai terma pingat Kerja Sampai Mati (KSM).

“Terima kasih rakyat Malaysia kerana meyakinkan saya bahawa Tun @chedetofficial adalah the best choice untuk memimpin negara,” kata Azmin di Twitter.

Kenyataan Ahli Parlimen Gombak itu dilihat membodek Dr Mahathir biarpun umum mengetahui bahawa beliau adalah dalam kem Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar telah dipersetujui oleh PH untuk menerajui Putrajaya selepas dua tahun Dr Mahathir memegang tampuk pemerintahan setelah memenangi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), Mei lalu.

Dr Mahathir selaku Pengerusi PH sebelum ini berkata, khidmatnya untuk negara bukan kerana duit, sebaliknya kerana sayang kepada negara.

Malah katanya, selagi ada hayat, beliau akan terus cuba memperbetulkan keadaan dalam negara.

“Ini negara kita, kita dilahir di sini, dibesar di sini, berkahwin di sini, dapat anak di sini dan anak kita dapat banyak manfaat daripada negara ini.

“Tak sayangkah kita kepada negara kita ini?” katanya pada Jumaat.

Dr Mahathir berkata demikian pada hari terakhir kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands di Sungai Koyan.

Dalam pada itu, Azmin dilihat menjadi orang pertama yang menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri Ketujuh itu.

“PM @chedetofficial berikrar akan berkhidmat hingga ke akhir hayat demi umat dan negara. Alhamdulillah teruskan khidmatmu Tun,” katanya lagi.

Azmin juga sebelum ini turut menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Dr Mahathir ketika mengerjakan umrah di Mekah.

Ia ekoran pendedahan Ahli Jawatankuasa Komunikasi dan Mobiliti Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mendedahkan bahawa ada komplot bagi menggulingkan Dr Mahathir. – MalaysiaGazette