SPRM buka bilik gerakan sepanjang PRK DUN Semenyih
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dua pengarah syarikat, termasuk seorang bergelar “Datuk” dibebaskan hari ini selepas direman lima hari bagi membantu siasatan kes rasuah serta tuntutan palsu berjumah RM1.8 juta.

Perintah tamat reman dikeluarkan Majistret Muhamad Bukhori Md Ruslan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak RM100,000 dengan dua penjamin setiap seorang.

Sebelum ini, kedua-dua suspek terbabit direman tiga hari bermula 23 hingga 25 Januari lepas sebelum remannya dilanjutkan tiga hari lagi sehingga esok.

Bagaimanapun, kesemua mereka dibebaskan lebih awal hari ini.

Turut direman berhubung kes itu ejen insurans wanita.

Namun, tempoh remannya tidak disambung dan dia dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin pada 25 Januari lalu.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Terdahulu, kedua-dua suspek terbabit dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pukul 9.05 pagi untuk prosiding tamat reman.

Menurut sumber SPRM, ketiga-tiga suspek itu disyaki menerima rasuah daripada pembekal peralatan kilang berhubung pembelian mesin bagi operasi sebuah syarikat yang kedua-dua pengarah syarikat terbabit turut mempunyai saham.

Mereka turut disyaki terbabit dalam salah guna kuasa ke atas dana syarikat untuk kepentingan peribadi.

Ketiga-tiga individu itu ditahan di ibu pejabat SPRM Selasa lalu ketika hadir bagi memberi keterangan.

Pengarah syarikat bergelar “Datuk” berusia 44 tahun ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari manakala seorang lagi suspek berusia 51 tahun ditahan sejam kemudian.

Suspek wanita yang juga ejen insurans berusia 29 tahun ditahan pada pukul 2 petang. – MalaysiaGazette