Dr. Asyraf Wajdi (kiri) bersama Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil berada sepentas program kempen di PRK Cameron Highlands.
Dr. Asyraf Wajdi (kiri) bersama Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil berada sepentas program kempen di PRK Cameron Highlands.

KUALA LUMPUR – Tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands melakar sejarah kerjasama dua parti terbesar Melayu, Islam dalam gerak kerja bersama di peringkat Parlimen.

Kerjasama yang terjalin kukuh selepas kira-kira 40 tahun Pas berpisah dengan Barisan Nasional (BN) pada 1978 telah merisaukan parti komponen Pakatan Harapan (PH).

Menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, rata-rata pengundi teruja dan berharap dua parti ini dapat kembali bertaut dan bersatu tenaga untuk mengembalikan maruah Islam, Melayu dan Bumiputera demi kelangsungan kestabilan dan keharmonian negara.

Kata beliau, penambahan majoriti sebanyak 2,641 daripada 597 undi pada PRU14 Mei lalu, kepada 3,238 pada PRK kali ini membuktikan sekiranya umat Islam bersatu sudah tentu kemenangan mampu diraih bersama walaupun komposisi Melayu tidak sampai 50 peratus.

“Pusat Daerah Mengundi Kampung Keledek umpamanya yang merupakan kubu kuat Pas ternyata memenangkan BN dengan majoriti amat besar meninggalkan PH yang hanya memperolehi 53 undi dengan majoriti hampir 700 undi,” katanya dalam ciapan Twitter beliau hari ini.

Jelas Dr Asyraf, PRK Parlimen Cameron Highlands semalam, memberikan isyarat kepada UMNO dan Pas supaya merencana secara tulus dan serius pelan kerjasama yang konkrit dan berkesan demi merealisasikan kesatuan ummah yang lama didambakan oleh rakyat.

“Selagi umat tidak bersatu, selagi ego masih menebal dan selagi dua parti terbesar umat Melayu, Islam berantakan, selagi itulah kita akan lemah dan mudah diperkotak-katikkan oleh orang lain,” katanya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada barisan kepimpinan Pas daripada pimpinan tertinggi yang diketuai Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sehingga kepada kepimpinan Dewan Pemuda Pas Malaysia yang diketuai Muhammad Khalil Abdul Hadi. – MalaysiaGazette